Tesla hari ini mengumumkan pembukaan Tesla Supercharger kedua di Malaysia, yang terletak di Johor. Stesen pengecasan Tesla Supercharger ini terletak di Sunway Big Box, Johor dan mempunyai 4 pengecas Tesla Supercharger.
Sempena pembukaan ini juga, pemilik Tesla boleh menikmati penggunaan pengecas ini pada harga RM0.63 / kWh buat masa terhad sehingga 8 Oktober 2023. Selepas itu, ia akan kembali kepada harga pengecasan biasa, iaitu RM1.25 / kWh.
Melalui Tesla Supercharger, ia membolehkan pengguna mengecas kenderaan dengan lebih pantas berbanding kebiasaan. Berkongsi mengenainya, Tesla mengatakan pengguna boleh mengecas Tesla Model Y untuk penggunaan sejauh 270km dengan pengecasan selama 15 minit.
Bersama-sama pembukaan stesen pengecasan baharu ini, Tesla turut menyatakan mereka komited dalam membuka lebih banyak stesen pengecas di Malaysia dalam masa terdekat.