Leica Sofort kali pertama dilancarkan pada tahun 2016 bagi menyertai arena kamera segera untuk bersaing dengan Instax atau Polaroid. Kini selepas tujuh tahun, Lecica Sofort 2 dilancarkan sebagai pengganti.
Sofort 2 adalah kamera segera hibrid dengan skrin terbina dan turut masih boleh mencetak gambar. Sensor yang digunakan adalah CMOS 1/5″ Zoll, mempunyai penuras warna RGB, boleh menghasilkan gambar beresolusi 2560 x 1920 (4.9 Megapixel) dan menggunakan lensa Leica Summar 1:2/2.4mm.
Bukaan lensa pada Sofort 2 turut boleh diubah dari f2 ke f16. Leica turut menawarkan 10 penuras filem dan 10 penuras lensa untuk hasil gambar yang lebih kreatif seperti gaya vintaj. Kamera ini hadir dengan skrin TFT 3-inci, menyokong sambungan Bluetooth 4.3 dan pengecasan USB-C dengan bateri yang bertahan sehingga 3 jam. Sofort 2 turut boleh menjadi pencetak gambar yang diambil dengan kamera Leica lain dengan menggunakan aplikasi FOTOS.
Leica Sofort 2 adalah kamera Leica paling murah di pasaran sekarang. Ia hadir dengan pilihan warna merah, hitam atau putih pada harga $389 iaitu sekitar RM1,836. Buat masa ini jualan di Malaysia masih tidak diketahui lagi.