Semua sedia maklum yang Google membayar Apple untuk memastikan enjin carian mereka adalah perkhidmatan lalai pada pelayar web Safari. Walaupun Google telah disaman, sehingga hari Google Search masih lagi dikekalkan pada Safari.
Baru-baru ini ketika perbicaraan mahkamah mengenai amalan anti monopoli Google, Apple didedahkan pernah berbincang dengan DuckDuckGo untuk menjadikan perkhidmatan mereka sebagai enjin carian lalai dalam mod peribadi Safari.
Wakil DuckDuckGo menyatakan mereka terkejut kerana Apple tidak pernah mengintegrasikan enjin carian yang memfokuskan privasi dan sekuriti ini. Wakil Apple pula menyatakan mereka tidak pernah serius dalam menukar Google dengan DuckDuckGo.
Kini dalam iOS 17, Apple telah membenarkan pengguna memilih ingin menggunakan enjin carian berbeza dalam mod pelayaran biasa dengan mod peribadi di Safari. Walau bagaimanapun, Google masih lagi yang lalai. Perkara ini diusulkan kerana Google didakwa mengamalkan monopoli untuk enjin carian dan tidak menghalang perkhidmatan lain bersaing.