OnePlus Pad Go telah dilancarkan secara rasmi hari ini dengan spesifikasi kelas pertengahan. Ia juga boleh dikategorikan sebagai tablet sesuai kegunaan harian yang tidak melibatkan pekerjaan berat. Tablet ini didatangkan dengan skein 11.35-inci beresolusi 2.4K dan kadar segar semula 90Hz.
Bertambah baiknya lagi apabila ia juga melepasi pensijilan TÜV Rheinland Low Blue Light untuk pencahayaan sinar biru yang rendah. Selain terdapat juga ciri DC Dimming yang dilihat memberi lebih keselesaan pada mata.
Seterusnya cip pemproses MediaTek Helio G99, memori 8GB RAM dan storan dalaman 128/256GB digunakan untuk tunjang utama. Bateri 8,000mAh disertakan menyokong sistem pengecasan 33W, selain turut memuatkan sensor 8MP untuk kamera utama dan swafoto.
Peranti juga memuatkan empat pembesar suara terbina dengan Dolby Atmos. Pada masa sama turut menjalankan OxygenOS 13.2 berasaskan Android 13 yang membolehkan ketersambungan peranti yang lancar. Harga jualan bermula INR19,999 (~RM1,131) dengan pilihan warna Twin Mint.