Baru-baru ini Samsung telah melancarkan peranti baharu untuk rangkaian FE mereka menerusi Galaxy S23 FE. Agak mengejutkan kerana mereka telah melangkau versi FE pada Galaxy S22 sehingga ramai berpendapat ia mungkin ditamatkan atas sebab tertentu.
Namun nampaknya Samsung membuat kejutan lain muncul dengan Galaxy S23 FE pada tahun ini. Jadi adakah dengan kemunculan semula peranti versi FE pada tahun mampu memikat hati pengguna? Atau menimbulkan keraguan atau tanda tanya pula? Kami akan cuba menjawabnya dalam artikel pandang pertama ini.
SPESIFIKASI
Samsung Galaxy S23 FE | |
---|---|
Skrin | 6.4″ Dynamic AMOLED 2X, 120Hz 1080 x 2340 pixel (403ppi) Gorilla Glass 5 |
Pemproses | Exynos 2200 (4 nm) |
Cip | 1 x 2.8 GHz Cortex-X2 3 x 2.50 GHz Cortex-A710 4 x 1.8 GHz Cortex-A510 |
Cip Grafik | Adreno 730 |
RAM | 8GB RAM |
Muatan Dalaman | 128/256GB |
Kamera Utama | 50 MP, f/1.8 (lebar), PDAF, OIS 8 MP, f/2.4 (telefoto), PDAF, 3x Zum optikal 12 MP, f/2.2, 123˚ (ultra-lebar) |
Kamera Swafoto | 10 MP, f/2.4, (lebar) |
Bateri | 4500mAh Berwayar 25W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM nano / 4G |
NFC | Ya |
Bicu Audio | Tiada |
Kalis Air | IP68 |
Sistem Imbasan | Pengimbas cap jari Imbasan Wajah |
Harga Jualan | RM2,999 (8GB/128GB) RM3,299 (8GB/256GB) |
Rekabentuk Dan Skrin
Cantik dan elegan, dua perkataan ini hadir dalam pemikiran saya yang sejujurnya terpegun dengan keindahan pada peranti baharu Samsung ini. Menatap dengan lebih dekat elemen digunakan sudah cukup menjentik rasa untuk terus meninjau mendalam peranti ini.
Kepada yang mungkin bertanya-tanya di mana Samsung meletakkan kedudukan peranti ini. Jika dilihat logik sudah semestinya betul-betul di bawah siri Galaxy S23 dari segi harga yang lebih rendah. Boleh dikatakan amat sesuai dijadikan alternatif yang menarik untuk Galaxy S23 dan Galaxy S23 Plus.

Sekali imbas pasti ada yang beranggapan ia sama sahaja dengan peranti siri Galaxy S23 sebelum ini. Hakikatnya masih ada perubahan dibuat bagi tujuan potongan kos pembuatan tetapi masih kekal eksklusif. Menggunakan skrin sepenuhnya rata dan sisi yang membulat, peranti ini menampilkan binaan ergonomik yang mana memberi keselesaan dan mudah dikendali.

Ia juga sesuai sahaja digunakan dengan sebelah tangan tanpa masalah. Pada masa sama Samsung turut menitikberatkan elemen tubuh peranti ringan yang mudah dibawa kemana-mana. Selain itu saiz yang tidak begitu tebal amat memudahkan penyimpanan, seterusnya peranti turut tampil dengan kemasan bersifat ‘timeless’ kerana sesuai digayakan dalam sebarang situasi.

Pemilihan warna juga ceria yang menyerlahkan lagi penampilan peranti ini. Terdapat empat pilihan disediakan yang terdiri dengan Graphite, Mint, Purple dan Cream yang kemudiannya digabungkan juga bingkai aluminium berwarna perak. Secara peribadinya saya menyukai keunikan pada peranti Galaxy S23 FE Purple yang mempunyai tona warna berbeza.

Kebiasaannya warna ungu yang digunakan pada kebanyakan peranti di pasaran nampak lembut, namun Samsung telah memilih warna lebih gelap yang menjadikan peranti lebih menonjol. Seterusnya Samsung turut ada mengatakan bingkai peranti ini diperbuat daripada aluminium biasa dan bukannya Armor Aluminium lebih tahan lasak seperti Galaxy S23 sebelum ini.

Saiz skrin yang digunakan pula sebesar 6.4-inci beresolusi FHD+ dan kadar segar semula 120Hz. Saiznya ditengah-tengah antara skrin Galaxy S23 sebesar 6.1-inci dan Galaxy S23 Plus pula sebesar 6.6-inci.
Ini bermakna Galaxy S23 FE menawarkan saiz skrin standard yang mana tidak terlalu kecil mahupun kecil untuk digunakan. Panel pula sejenis Dynamic AMOLED yang sudah semestinya mampu menawarkan penghasilan semula warna yang terang. Selain kemampuan sudut pandangan yang luas untuk pengalaman tontonan memuaskan.

Terdapat juga lubang kecil diletakkan pada bahagian tengah untuk kamera swafoto. Ianya kecil sahaja yang tidak menimbulkan gangguan malahan kewujudan mungkin tidak disedari oleh kebanyakan pengguna selepas penggunaan jangka masa panjang.
Kecerahan puncak pula boleh mencapai 1,450nits namun sedikit lebih rendah berbanding Galaxy S23 dengan 1,750nits. Pada masa sama peranti juga hanya dilindungi dengan kaca Corning Gorilla Glass 5 dan bukannya Corning Gorilla Victus 2.

Beralih ke bahagian butang dan lubang sambungan, kesemuanya boleh ditemui pada kedudukan yang ergonomik. Butang kuasa dan laras audio diletakkan pada bahagian sisi kanan, yang kemudiannya sisi kiri pula kelihatan kosong sahaja.
Pada bahagian atas pula terdapatnya ruang slot SIM tanpa slot kad mikro SD. Ini bermakna pengguna hanya dibenarkan dua kad nano SIM tanpa kebolehan kad mikro SD. Manakala bahagian bawah pula peranti ini dimuatkan port USB-C dan kekisi pembesar suara dengan audio stereo.
Selain itu, peranti juga masih memuatkan ciri premium lain seperti kalis air IP68, pembesar suara dengan audio AKG dan NFC. Pun begitu tiada akses bicu audio 3.5mm diberikan di sini yang memerlukan sokongan dongel tambahan untuk kegunaan fon telinga berwayar. Sebagai pilihan lebih mudah pengguna boleh sahaja menggunakan fon telinga nirwayar.
Perkakasan Dan Perisian
Bercakap mengenai perkakasan dalaman, Galaxy S23 FE di Malaysia dikuasakan oleh cip Exynos 2200, sekaligus menjadikan hanya peranti di Amerika Syarikat sahaja yang menggunakan Snapdragon 8 Gen 1.
Exynos 2200 merupakan cip berteknologi 4nm berasaskan binaan lapan teras yang terdiri dengan satu teras Cortex-X2, tiga teras Cortex-A710 dan empat teras Cortex-A510. Tumpuan diberikan pada GPU Xclipse berasaskan teknologi AMD RDNA 2, yang juga dilengkapi NPU dengan perincian tinggi FP16.

Memori 8GB RAM dan storan dengan pilihan sehingga 256Gb diberikan tanpa kebolehan ruang tambahan menerusi kad mikroSD. Namun storan tadi masih boleh ditambah secara maya sehingga 8GB menerusi ciri RAM Plus. Ini bermakna pengguna boleh mendapatkan sehingga 16GB RAM secara keseluruhannya untuk penggunaan lebih lancar.

Pengalaman penggunaan ringkas menunjukkan peranti berfungsi seperti biasa dengan kelancaran animasi memuaskan dengan bantuan skrin 120Hz. Ia bagaimanapun akan terus diuji dari masa ke semasa bagi melihat prestasi lebih mendalam yang akan dikongsi dalam artikel akan datang.

Sistem operasi OneUI 5.1 berasaskan Android 13 digunakan pada peranti. Ini bermakna kesemua ciri dan fungsi terbina ditawarkan adalah mirip dengan peranti Galaxy S23 memandangkan perisian adalah sama. Ini bermakna jaminan kemas kini sehingga empat versi Android dan tampalan sekuriti selama lima tahun turut boleh ditawarkan pada peranti.
Elemen-elemen antaramuka yang diperlihatkan juga minimalis, kemas dan mudah difahami. Penambahbaikan kepada sekuriti menerusi Samsung Knox turut dikekalkan dengan kebolehan mengesan sekiranya data peribadi pengguna telah tertiris.
Konfugurasi Kamera
Sistem kamera yang digunakan terdiri dengan lensa utama 50MP, ultra sudut lebar 12MP dan 8MP telefoto yang juga menyokong OIS terbina. Pilihan tangkapan gambar pula boleh diambil pada nisbah 1:1, 4:3, 16:9 dan penuh, kemudian diikuti dengan kebolehan zum sehingga 3X optikal dan 30X digital. Kemampuan video pula boleh dirakam maksimum sehingga UHD 8K/24FPS, yang juga memuatkan sistem penstabilan terbina yang terhad boleh digunakan pada resolusi video 4K.

Kamera juga menyokong AI dan HDR terbina bagi membolehkan gambar diambil dengan imbangan cahaya yang baik. Pelbagai mod kamera terbina turut ditawarkan yang terdiri dengan Aperture, Potrait, Photo, Video, Pro dan More. Kamera swafoto 10MP tanpa autofokus yang disertakan juga lebih kecil berbanding 12MP pada peranti Galaxy S23 sebelum ini.

Kapasiti Bateri
Bateri dan sistem pengecasan pula tidak berubah. Melaluinya Samsung masih menggunakan bateri 4,500mAh yang menyokong pengecasan berwayar 25W pada peranti. Namun masih boleh dianggap memadai untuk kegunaan sepanjang hari memandangkan ketahanan bateri sesebuah peranti amatlah bergantung pada cara penggunaan.
Misalnya penggunaan kerap yang juga melibatkan sokongan skrin 120Hz sepanjang masa sudah semestinya mengakibatkan kehabisan bateri lebih cepat. Namun jika sebaliknya dirasakan tiada masalah untuk bertahan sehari suntuk. Proses pengecasan semula pula boleh dibuat menggunakan sambungan USB-C. Peranti juga menyokong pengecasan nirwayar yang dilihat memberi nilai tambah lain.
Apa Dalam Kotak
Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti Galaxy S23 FE di Malaysia.
- 1x Samsung Galaxy S23 FE.
- 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
- 1x Manual Pengguna.
- 1x Pin SIM.
Kesimpulan
Secara peribadi saya berpendapat kemunculan semula versi FE pada tahun ini sekadar memadai dan bukanlah tidak menarik langsung. Banyak hal yang tidak berubah tetapi masih baik-baik sahaja. Pengguna juga seharusnya tidak meletakkan harapan yang tinggi memandangkan ia cuma peranti alternatif dengan harga lebih rendah. Sudah semestinya terdapat beberapa perkara yang perlu dikorbankan bagi tujuan kos pembuatan lebih rendah.

Namun begitu Samsung sebenarnya masih melakukan perkara yang baik dalam beberapa aspek. Ini termasuklah menggunakan tubuh bersaiz kompak dengan paparan yang menyerlah menerusi skrin 6.4-inci sejenis Dynamic AMOLED. Peranti juga disertakan kemampuan kadar segar semula tinggi 120Hz bagi tujuan penggunaan yang lancar.

Secara peribadi saya membuat keputusan mudah yang mana kemunculan semula versi FE tahun ini mungkin tidak mampu menarik perhatian sebahagian pengguna. Namun ini tidak bermakna tiada langsung yang menarik pada peranti. Bagi yang berminat peranti ini dijual dengan harga bermula RM2,999 untuk (8GB/128GB) dan meningkat kepada RM3,299 untuk8GB/256GB.
Kelebihan
- Rekaan praktikal dan seimbang.
- Skrin AMOLED dengan kadar segar semula tinggi.
- Sokongan Android empat versi dan sekuriti lima tahun.
- Kalis air IP68.
Kekurangan
- Tiada bicu audio.
- Tiada slot kad mikro SD.
- Pengecas tidak disertakan dan tidak sepantas pesaing.