Microsoft sedia menjadualkan sebuah acara khusus memfokuskan pembangun pada bulan hadapan, iaitu Microsoft Ignite 2023. Menariknya, kini mengikut laporan awal, Microsoft dikatakan bakal perkenal cip pemprosesan tersendiri dengan fokus terhadap kecerdasan buatan pada acara berkenaan.
Pada acara berkenaan, Microsoft dijangka akan menyentuh sejumlah perkara berkaitan dengan kecerdasan buatan dan juga teknologi generatif atau penjanaan. Bersama-sama dengannya, penawaran cip AI dijangka diumumkan – sekaligus membawa kepada lebih pengoptimasian kos berbanding pada hari ini.
Pada masa kini, pelbagai syarikat teknologi menggunakan GPU keluaran NVIDIA dalam menguasakan pusat data bagi menampung penggunaan perkhidmatan kecerdasan buatan. Ini termasuk perkhidmatan seperti Bing Chat dan sebagainya.
Dengan Microsoft sendiri menambah ciri berasaskan kecerdasan buatan pada pelbagai perkhidmatan mereka, semestinya mereka ingin hadir dengan perkakasan yang lebih menjimatkan kos dari segi operasi dan pembangunan.
Dengan perkembangan terbaru ini, sama-sama kita nantikan apakah kejutan yang akan disediakan oleh Microsoft melalui cip AI mereka.