Semakin hari semakin banyak kenderaan elektrik yang kita boleh lihat dijalankan. Malahan tahun ini sahaja menyaksikan pelbagai pengenalan baharu kenderaan elektrik untuk pasaran tempatan. Tahun ini berlainan sedikit berbanding yang biasa kerana awal Januari 2023, BMW Motorrad Malaysia telah mengumumkan penawaran skuter elektrik mereka iaitu BMW CE 04.
Ini bukanlah kali pertama mereka mengeluarkan skuter elektrik, kerana model terdahulu iaitu BMW C Evolution telahpun diperkenalkan sekitar tahun 2013.
Saya membuat keputusan untuk membeli skuter elektrik ini kerana BMW Motorrad sememangnya mempunyai pelbagai motosikal yang berkuasa, dan apa yang paling jelas sekali pada BMW CE 04 adalah rekaan dan prestasi, dan juga memandangkan ia skuter elektrik, ia merupakan satu benda yang boleh saya pelajari untuk meneroka dunia kenderaan elektrik.
BMW Motorrad CE 04 | |
---|---|
Mod Pemanduan | Eco, Road, Rain, Dynamic |
Jarak Perjalanan (WMTC) | 130km |
Pecutan | 0-50 km/j – 2.6 saat |
Kelajuan maksimum | 120 km/j (dihadkan) |
Kapasiti Bateri | 8.9 kWh |
Kelajuan Pengecasan 10A / 230V / 2.3kW | 0-100%: 4 jam 20 minit 0-80%: 3 jam 30 minit |
Berat | 231 kg |
Saiz Skrin | 10.25″ TFT |
Saiz Tayar | Depan: 120/70 R15 Belakang: 160/60 R15 |
Kuasa Maksimum | 42hp (31 kW) @ 4900 |
Tork Maksimum | 62 Nm @ 1500 |
Fungsi Lain | Headlight Adaptive Pro, ABS Pro, Dynamic Traction Control |
Harga Jualan | RM 59,500 |
Rekaan Futuristik Bagaikan “Jetski” di Darat
Tidak dinafikan, rekaan skuter elektrik BMW CE 04 ini sangat berlainan dari yang lain. Jika kita lihat skuter elektrik yang lain atau motosikal yang menggunakan kuasa elektrik, bahasa rekaan motosikal lain tetaplah mengekalkan elemen-elemen motosikal biasa. Jika kita lihat pada rekaan Blueshark yang hadir dengan rekaan klasik, Harley Davidson yang mempunyai pengekelasan dan gaya ‘naked bike’, atau Yamaha EL1 yang jelas hampir seperti model X-Max, BMW CE 04 boleh dikatakan jauh berbeza walau dengan adik-beradik skuternya seperti C400 GT dan C400X.
BMW hadir dengan rekaan konsep CE 04 ini sekitar tahun 2017 dan selang beberapa tahun, ia diumumkan akan dikilangkan dengan rekaan yang hampir sama. Perkara yang sama turut berlaku tahun ini sewaktu pengumuman satu lagi motor elektrik mereka iaitu CE-02, dengan rekaan ke arah ‘moped’. Mungkin ia menjadi kebiasaan BMW Motorrad untuk mengikuti rekaan konsep yang mereka hasilkan walaupun bukan 100%.
Apa yang boleh dikatakan sangat berlainan dari rekaan kebanyakan motor boleh dimulakan dengan lokasi storan yang terletak di bawah tempat duduk penunggang. Salah satu kelebihan skuter adalah ruang storan yang besar di bawah tempat duduk yang boleh diangkat, namun memandangkan BMW CE 04 ini hadir dengan tempat duduk yang rata bagaikan papan seterika tempat duduknya tidak boleh dialih, jadi rekaan storan bawah perlu diakses dari tepi.
Dan apa yang boleh dikatakan sebagai “jetski” darat adalah tempat letak kaki yang dilihat sangat panjang, bersambungan sehingga ke hadapan. Jika jetski meliuk-lentuk memotong ombak di laut, membawa skuter ini di darat saya boleh meliuk-lentuk mencelah di antara kenderaan. Bagi pengguna yang mempunyai kaki panjang, tempat letak kaki sebegini dapat membuatkan anda berasa sangat selesa.
Malah dengan bahasa rekaan sebegini juga membuatkan skuter elektrik ini lebih panjang berbanding saiz motor biasa. Mungkin sama panjang dengan kelas ‘Cruiser / Easy Rider’, seperti Harley Davidson atau Chopper dan mengambil ruangan parkir yang lebih besar. Dalam beberapa gambar di bawah, jelas sekali akan ada bahagian yang terkeluar daripada kotak parkir. Ini boleh meningkatkan risiko berlaga dengan motosikal lain lebih-lebih lagi di ruangan parkir yang sempit.
Seterusnya dengan cara peletakan bateri di bahagian bawah skuter ini membuatkan pusat graviti skuter ini rendah dan terasa mudah dikawal walaupun mempunyai berat sekitar 231 kg. Saya pernah mencuba Yamaha X-Max 250 dan bagi saya motor itu berat, namun skuter ini jauh lebih berat, menghampiri berat motosikal berkuasa tinggi.
Memandangkan saya tidak begitu tinggi (setinggi 162cm) saya kadangkala menghadapi masalah untuk mencelah di antara kereta, atau menggerakkan motor ini (untuk urusan parkir). Nasib baik fungsi undur diberikan untuk memudahkan pergerakan keluar dari kotak parkir.
Namun satu perkara yang kurang saya gemari adalah reka letak lampu belakang bersama nombor pendaftaran belakang yang rasanya agak rendah dan terdedah untuk sebarang kerosakan akibat kecuaian. Jika dibandingkan dengan kebanyakan motosikal biasa, lampu isyarat mungkin diletakkan menggunakan rekaan yang terbenam dengan badan motorsikal, atau diletakkan pada aras pinggang pengguna, boleh mengurangkan risiko terlanggar.
Pada kedudukan sekarang, ia dilihat sesiapa sahaja yang cuai boleh terlanggar lampu belakang dan mengakibatkan kerosakan kepada lampu isyarat. Saya sendiri sudah terlanggar lampu tersebut dengan betis, dan hanya bernasib baik ia tidak patah. Hanya sejak meletakkan kotak tambahan, dapat membuatkan saya tidak lagi berpotensi untuk terlanggar dengan lampu isyarat belakang.
Antaramuka dan Fungsi
Salah satu perkara yang menarik minat saya dengan jenama BMW adalah fungsi-fungsi yang diketengahkan pada motosikal yang hampir sana dengan teknologi yang mereka bawakan pada kereta. Pada saya ia jelas terpapar pada paparan antaramuka LCD bersaiz 10-inci apabila dihidupkan moto ‘Make Life A Ride’ dipaparkan. Terasa seperti memandu motosikal dari masa hadapan dari anime AKIRA.
Ini dilakukan dengan pemilihan tetapan menerusi kawalan tatalan pada pemegang sebelah kiri, dan putarkan atau tolak ke-kiri dan kanan bagi melihat kesemua paparan yang ada. Terdapat juga butang untuk saya menetapkan paparan kegemaran, dimana paparan akan terbahagi kepada dua, iaitu paparan aktif dan paparan kedua yang boleh memaparkan perkara seperti informasi pemanduan, peta navigasi, atau kawalan fon kepala.
BMW CE 04 ini juga dihubungkan kepada aplikasi BMW Motorrad Connected yang boleh merekodkan perjalanan anda, memaparkan status dan informasi skuter serta memilih untuk memaparkan aplikasi navigasi.
Dalam banyak perkara moden yang saya gemari pada skuter ini, perkara yang membuatkan saya menyampah adalah sistem pemetaan mereka yang tidak dikemaskini. Saya cuba mencari beberapa lokasi tetapi ia tidak disenaraikan seperti Parcel F Putrajaya dan lokasi Serdang Motorcycle yang lokasinya tidak tepat.
Perkara ini saya mungkin boleh tutup sebelah mata jika skuter ini menyokong Apple Carplay / Android Auto. Disebabkan CE 04 adalah skuter elektrik setiap jarak adalah amat berharga justeru dengan setiap kesesatan yang terjadi ia mengurangkan jarak perjalanan efektif kenderaan. Akibatnya i a menambahkan dilema kegusaran perjalanan (range anxiety) yang dialami oleh setiap pemilik EV.
Antara perkara yang boleh dipuji adalah kehadiran fungsi-fungsi premium, seperti lampu isyarat kiri kanan yang akan dinyahaktif selepas anda membelok atau bertukar laluan, dan juga fungsi lampu Headlight Adaptive Pro yang memberikan pencerahan mengikut arah condong motor. Seperti contoh saya sedang membelok atau condong ke kiri pada waktu malam, terdapat lampu tambahan akan dihidupkan yang menala ke arah kiri, mengikut sudut condong skuter ini.
Prestasi Tunggangan Mod Dynamic Meninggalkan Bunyi Tanpa Asap Buat Mereka Jauh Di Belakang
Seperkara lagi yang membuatkan saya tertarik dengan skuter ini adalah prestasi yang ditawarkan. Sebagai kenderaan elektrik, skuter ini mampu memecut ke kelajuan 50 km/h dalam masa 2 saat, dan saya boleh mencapai kelajuan 100 km/h dalam masa 4-5 saat sewaktu saya menggunakan mod pemanduan Dynamic.
Enjin elektrik ini menawarkan kuasa maksimum 32kW, bersamaan 42hp apapun sebelum saya bercerita mengenai mod pemanduan, anda harus tahu bahawa enjin elektrik menawarkan sesuatu yang lain dari yang lain: iaitu pengecasan semula apabila membrek. (regenerative braking).
Pengecasan semula apabila membrek ini secara asasnya mula digunapakai pada kenderaan dengan enjin hibrid, dimana apabila kereta tidak memecut, dan mula perlahan, kelajuan yang dikurangkan itu akan ditukarkan bagi mengecas semula bateri, sehinggalah kenderaan berhenti. Malah, pengecasan semula apabila membrek ini juga mempunyai tetapan, dari segi sensitiviti yang mempengaruhi kekuatan dan jarak kenderaan berhenti apabila dibrek menggunakan enjin. Ini tidak terdapat pada enjin petrol biasa, dan pemandu masih perlu membrek sendiri.
Dalam video di atas, ia merupakan paparan sewaktu memandu dan warna yang terang itu menandakan kuasa enjin sama ada sedang mengeluarkan kuasa untuk memecut (POWER), atau sedang dicaj semula sewaktu memperlahankan skuter (CHARGE). Lebih jauh penanda dipenuhkan ke dalam sesuatu arah, lebih jauh ia menggunakan sesuatu, seperti saya memulas penuh pendikit, jadi paparan penanda bahagian (POWER) dipenuhkan, dan jika saya melepaskan pendikit, bagi memperlahankan skuter, penanda bahagian (CHARGE) akan dipenuhkan.
Sepanjang lebih sebulan saya menggunakan skuter elektrik ini, boleh dikatakan saya hanya membrek dengan tujuan memberhentikan sepenuhnya, sewaktu mencelah antara trafik, atau sekiranya saya terlalu laju. Kebanyakan masa, saya hanya perlu melepaskan pendikit elektrik, dan enjin akan mula membrek mengikut mod pemanduan yang saya pilih.
Terdapat tiga mod pemanduan yang ditawarkan pada skuter ini dan untuk pasaran Malaysia, BMW Motorrad telah menyertakan Mod tambahan iaitu Mod Dynamic yang biasanya hadir sebagai pilihan tambahan untuk pasaran negara lain. Mod Dynamic ini memberikan pecutan terpantas berbanding yang lain, dan sangat sesuai bagi mereka yang benar-benar inginkan kuasa pecutan elektrik.
Ia juga boleh belajar tentang corak tunggangan saya, dan tahu sekiranya saya ingin meluncur (coasting) atau ingin mengurangkan kelajuan, sekaligus mengecas semula bateri. Untuk mod Dynamic, keutamaan enjin adalah dalam memberikan kuasa, dan meskipun ruangan CHARGE itu tersedia penuh.
Dan khas didatangkan dengan Mod Dynamic, adalah fungsi ABS Pro dan Dynamic Traction Control yang memberikan lebih kawalan, dan memastikan skuter sentiasa stabil dan dalam kawalan walau dalam apa jua keadaan. Menariknya, di dalam aplikasi log perjalanan, ia turut menandakan lokasi ABS berfungsi, dan juga lokasi anda mengambil selekoh tajam, turut serta dengan sudut anda ‘melayan korner baring’. Sekiranya skuter ini tidak didatangkan dengan Mod Dynamic, saya rasa fungsi ini tidak akan direkodkan dalam log perjalanan.
Mod Eco pula merupakan mod pemanduan yang menjimatkan penggunaan tenaga, dan anda dapat rasa pecutan adalah rendah dan tidak sepantas Dynamic. Saya hanya menggunakan mod ini apabila memerlukan penjimatan tenaga yang lebih, dan apabila mod ini dipilih, biasanya saya dapat melihat jarak pemanduan yang bertambah disebabkan tenaga yang akan dikeluarkan menerusi Mod Eco adalah tidak sekuat mod pemanduan yang lain.
Ini dapat dirasakan menerusi sensitiviti pendikit di mana apabila anda memulas penuh, ia mengambil masa yang lebih lama untuk memecut laju. Saya juga akan mengaktifkan mod ini apabila terdapat rakan yang ingin mencuba menunggang. Kerana sensitiviti pendikit yang rendah dapat mengurangkan mereka mengalami kejutan kekuatan pecutan motor elektrik.
Mod Rain pula dikhususkan untuk keadaan hujan, namun saya tidak pernah menggunakannya bukan kerana saya tidak pernah membawa dalam hujan, akan tetapi saya berasakan ia kurang perlu. Mod Road pula merupakan mod perjalanan, dengan kuasa pengecasan namun tidak kuat untuk kuasa pengecasan semula apabila membrek, dan saya menggunakan mod ini untuk masa seminggu setelah mengambil motor ini bagi membiasakan diri dengan enjin elektrik.
Dan apa yang membuatkan saya jatuh cinta tunggangan pertama adalah apabila memecut dengan terlalu laju sewaktu lampu merah bertukar hijau. Kebanyakan masa, saya meninggalkan yang lain dan dapat mencapai kelajuan 100km/j dalam masa yang singkat. Namun saya juga sedar, apabila membawa pada kelajuan melebihi 100km/j secara berterusan, kuasa bateri semakin menurun.
Sejurus selepas saya melepaskan pendikit, mungkin ada motor yang menggunakan petrol yang lebih berkuasa tinggi memotong saya. Dan jika mengikuti konvoi motosikal petrol, saya mempunyai pecutan awal yang laju, namun mungkin akan ketinggalan nanti apabila isu pengecasan bateri menghambat saya.
Tempoh Pengecasan Dan Jarak Tunggangan – Isu Utama Setiap Pemilik Kenderaan Elektrik
Untuk corak penggunaan saya – yang selama ini hanya pergi sekitar Lembah Klang untuk urusan pejabat dan juga acara media dan juga mesyuarat – saya merasakan jarak tunggangan sekitar 120km ini agak realistik, dengan syarat saya perlu memastikan bateri penuh setiap pagi. Jarak dari rumah ke pejabat saya adalah sekitar 22km sekali perjalanan dan sekiranya saya tidak mengecas setiap hari, saya perlu mengecas di akhir hari kedua iaitu selepas 88km.
Namun sekiranya tiba-tiba terdapat mesyuarat, saya cuba mengaturkan mesyuarat tersebut berhampiran dengan tempat yang boleh saya caj motor, atau memilih untuk memandu kereta ke perjumpaan tersebut.
Untuk tempoh pengecasan pula, saya boleh simpulkan saya memerlukan sekitar 1 jam untuk setiap 25% tahap bateri dan ini hampir bertepatan dengan tempoh yang BMW umumkan, iaitu 0-80% mengambil masa 3 jam setengah atau 4 jam 20 minit untuk 0-100%. Paparan sewaktu mengecas dibahagikan kepada 4 kotak, sama seperti kotak yang dipaparkan sewaktu menunggang. BMW Motorrad Malaysia tidak menawarkan pilihan untuk pengecasan pantas, dan jenis pengecasan yang terpasang pada model ini adalah Type 2 – Single Phase dan boleh menerima hanya 2.3kW.
Saya boleh katakan ia merupakan satu perkara yang mengecewakan bagi BMW untuk tidak menawarkan pilihan pengecasan pantas walau itu akan menaikkan harga skuter ini kerana dengan pengecasan pantas, pengguna boleh memanfaatkan pengecasan Three Phase yang lebih laju, setinggi 6.9kW dengan tempoh pengecasan 0-80% sepantas sejam. Sehingga kini, sekiranya saya mengecas di lokasi selain di rumah, saya akan menghabiskan masa sekitar 1-2 jam dan ada masanya saya menghadiri acara, dan ada masanya saya melakukan kerja di kafe berhampiran.
Malah, ramai juga peminat skuter ini tidak menempah kerana tiadanya pilihan pengecasan pantas. Meskipun maklumat berkenaan harganya tidak didedahkan, namun saya yakin jika ada pilihan tersebut, mereka yang berkira-kira kerana faktor ini, sudah tentu akan dapat membuat keputusan.
Sehingga kini, jarak paling jauh yang pernah saya adalah dari KL Sentral ke Parcel F, Putrajaya sekitar 31km dan kuasa yang digunakan adalah 25%. Saya juga bernasib baik kerana di parkir motor bangunan ini, terdapat palam kuasa, dan saya boleh mengecas penuh skuter ini sambil menghadiri acara JomLaunch ke-10.
Seperkara lagi mengenai pengecasan, saya melanggan pengecasan ChargEV berharga RM 240 setahun kerana pada kelajuan 2.3kW, saya dapat menggunakan kesemua rangkaian ChargEV tanpa caj tambahan. Untuk bulan September 2023, saya telah menggunakan 29.377 kWh untuk 8 kali pengecasan yang mengambil masa sekitar 12 jam 18 minit. Saya tidak melanggan pakej lain kerana ia lebih mahal, dan harganya tidak sesuai dengan kadar pengecasan maksimum yang dapat diterima skuter ini.
Penyelenggaraan Skuter Elektrik – Tanpa Enjin Petrol, Apakah Pemeriksaan Berkala ?
Genap pada hari ke-21 memiliki skuter ini, saya telah menghantarkan pemeriksaan berkala skuter ini kerana ia telah mencapai 1000km. Terdapat notifikasi yang memberikan peringatan untuk pemeriksaan pertama, dan saya fikir, apakah yang akan diselenggara oleh pihak BMW? Secara amnya, antara peralatan yang wajib ditukar termasuklah brek, tayar, dan sebarang cecair tambahan seperti minyak brek, perlu diberi perhatian dan kesemua ini akan berkurang dari semasa ke semasa.
Rupanya, pemeriksaan pertama 1000km ini turut meliputi penukaran minyak yang digunakan dalam enjin motor elektrik ini sebanyak 0.18 liter, dan juga ‘gasket ring’. Saya juga difahamkan untuk penyelenggaraan seterusnya, iaitu apabila mencapai 10,000km, saya perlu menukar tali sawat tayar belakang, dan dengan kadar kekerapan tunggangan saya, mungkin saya akan capai jarak 10,000km dalam masa kurang dari 10 bulan.
Kesimpulan
Saya boleh katakan terlebih awal sekiranya anda ingin memiliki motor dengan niat untuk pergi makan lemang To’Ki, bawa jalan-jalan santai sehingga Kota Bharu, skuter elektrik ini bukanlah satu kenderaan yang sesuai untuk anda. Saya akan bercerita lebih panjang mengenai perihal ini di dalam artikel berasingan kerana terdapat banyak lagi faktor lain yang perlu difikirkan, dari segi lokasi pengecasan, pengasingan parkir motor dan kereta yang biasanya tidak membolehkan skuter ini di caj di parkir pengecasan kereta, dan isu mengenai ketersediaan dan jika pengecas yang ada ini ‘boleh diharap’.
Pada harga RM 59,500 – ini merupakan harga sebelum berada diatas jalan, harga sebelum insurans dan cukai jalan – boleh dikatakan sangat tinggi dan sangatlah tidak mampu dimiliki ramai. Malah ia juga lebih mahal dari adik-beradik kelas C yang lain, dan memandangkan kabel pengecasan dijual berasingan, dan tiada pilihan pengecasan pantas, saya boleh katakan harga ini sangat mahal dengan jarak terhad dan tempoh pengecasan yang lama.
Namun sekiranya anda tidak akan pergi ke lokasi jauh, anda mungkin akan bawa skuter ini dalam lingkungan kurang 100km pergi dan balik, tidak pergi ke pelbagai destinasi atau mungkin hanya pergi surau dan masjid, atau mempunyai rumah yang berpijak di bumi nyata, bukan rumah pangsa mahupun kondominium, serta kaya, mampu membayar kos pengecasan, mungkin anda layak menggunakan skuter dari masa hadapan ini.
Satu perkara yang jarang diperkatakan adalah, walau BMW CE 04 untuk pasaran Malaysia dijual pada harga RM 59,500, ia adalah jauh lebih murah jika dibandingkan dengan negara-negara jiran lain seperti Thailand (~RM 100,000), Indonesia(RM 120,000) dan Singapura (~RM 180,000). Untuk pasaran Malaysia, kerajaan memberikan pengecualian cukai import untuk kenderaan elektrik, dan juga terdapat pelepasan cukai bagi pemilik kenderaan elektrik bagi langganan, pemasangan, dan sebarang perkara berkaitan pengecasan kenderaan.
Sekiranya anda berminat dengan skuter elektrik BMW CE-04 ini, anda boleh hadir ke lokasi BMW Motorrad berhampiran anda, dan melakukan janji temu untuk sesi percubaan tunggang bagi merasai sendiri tunggangan menuju masa hadapan, yang penuh cabaran.
Kelebihan
- Pecutan elektrik jauh meninggalkan ramai
- Model dijual pasaran tempatan disertakan mod pemanduan Dynamic, ABS Pro, Dynamic Traction Control dan juga lampu Headlight Pro
- Mod tunggangan yang responsif
- Rekaan yang dijamin membuatkan orang lain menegur anda
Kekurangan
- Maklumat peta yang tidak dikemaskini
- Pilihan pengecasan pantas tidak ditawarkan untuk pasaran tempatan
- Tiada kabel pengecasan disertakan bersama
- Mahal