Carian
ASUS Hyper M.2 Gen5 x16 Membolehkan Anda Menyambung Empat SSD Untuk Kelajuan 64GB/s
October 10, 2023 Nazrin

ASUS Hyper M.2 merupakan sebuah kad pengembangan untuk membolehkan pengguna menyambungkan banyak storan SSD pada satu komponen untuk mendapatkan jumlah storan yang besar dan lebih pantas.

Terkini, syarikat tersebut telah memperkenalkan ASUS Hyper M.2 Gen5 x16, model terbaru dalam siri ini yang boleh digunakan bersama-sama dengan empat buah SSD PCIe Gen5 yang mempunyai kelajuan pembacaan data 16GB/s yang secara teknikalnya belum lagi hadir di pasaran buat masa ini.

Empat buah SSD PCIe Gen5 tersebut boleh dipasang pada kad pengembangan ini dan dikonfigurasikan dalam mod RAID0 untuk menggabungkan kesemua storan tersebut sebagai sebuah storan besar, dan juga untuk mendapatkan kelajuan pembacaan data sepantas 512Gb/s ataupun 64GB/s.

Dalam pada itu, kad pengembangan ini juga menyokong pelbagai saiz SSD M.2, termasuklah 2242, 2260, 2280, dan 22110, dan memerlukan hanya satu palam kuasa 6-pin PCIe untuk menguasakannya, dan mengalirkan elektrik sebanyak 14W. Selain daripada RAID0, ia juga menyokong beberapa konfigurasi RAID yang lain.

Ia juga tampil dengan kipas penyejukan yang boleh diaktifkan atau dimatikan menggunakan suis di bahagian belakang kad ini.

Dari segi sokongan, kad pengembangan ini boleh digunakan oleh mana-mana platform Intel dan AMD yang mempunyai sokongan PCIe Gen5 tanpa masalah, tetapi untuk Intel, platform Z790 mereka dilihat hanya boleh menyokong dua storan SSD yang dipasang secara maksima kerana ia hanya mempunyai 20 jalur PCIe. Untuk memanfaatkan penggunaan kad ini, anda akan perlu menggunakan papan induk HEDT Intel W790 untuk memaksimakan penggunaan 4 buah SSD.

Papan induk AMD X670 dan B650 tidak mempunyai masalah ini kerana kedua-dua papan induk X670 dan B650 mempunyai 44 dan 36 jalur PCIe 5.0 yang boleh dimanfaatkan.

Pihak ASUS di Amerika Syarikat telah mengesahkan bahawa produk ini dijual pada harga $79 (~RM375) di pasaran tersebut. Buat masa ini ia tidak diketahui lagi samada ASUS Malaysia akan membawa masuk produk ini untuk pasaran tempatan.

Komen