Kalau mengikut pada perkiraan sudah masuk kira-kira tiga tablet yang telah dihasilkan oleh Oppo setakat ini. Ini termasuklah Oppo Pad, Oppo Pad 2 dan Oppo Pad Air. Kesemuanya diumumkan dengan spesifikasi kelas pertengahan yang memberi tumpuan penuh terhadap produktiviti harian.
Namun kini muncul perkhabaran baharu mengenai Oppo dalam persediaan hadir dengan sebuah lagi tablet. Ia dipanggil sebagai Oppo Pad Neo dan telah ditemui tersenarai di pelbagai pangkalan data termasuk SIRIM Malaysia.
Tablet ini didaftarkan oleh Jie Business Sdn Bhd dengan kod nama OPD2302 (OPPO Pad Neo), yang bermakna kita boleh melihat pelancarannya bakal berlangsung dalam masa terdekat. Namun timbul persoalan sampingan yang melibatkan perkakasan dalaman memandangkan tablet masih belum dilancarkan di mana-mana pasaran termasuk China.
Terdapat sumber yang menyatakan ia boleh dilengkapi LTE terbina, sekaligus menjadi naiktaraf menarik berbanding generasi sebelum ini yang sekadar menyokong WiFi. Namun seperti biasa lebih baik jikalau kita menunggu kemaskini daripada pihak Oppo sendiri berhubung perkara ini.