Minggu lalu YouTuber terkemuka James Stephen Donaldson atau lebih dikenali sebagai Mr Beast mengadu video palsu beliau yang dijana menggunakan AI digunakan untuk menipu orang ramai. Dengan pergi ke sebuah laman mereka kononnya dijanjikan iPhone 15 percuma dan ada juga pautan ke cabutan bertuah. Mr Beast segera menafikan iklan yang dipaparkan di Instagram mempunyai kaitan dengan beliau dan mengingatkan orang ramai supaya jangan mudah terpedaya.
Di Malaysia, Khairul Aming pula menjadi mangsa imej disalahgunakan untuk tujuan penipuan. Beberapa laman baharu menggunakan nama dan imej beliau untuk menjual “jam pintar” pada harga yang amat mampu milik. Selain Khairul Aming imej kedai Apple Machines juga digunakan dalam skim penipuan terkini ini.
Ketika artikel ditulis laman Facebook palsu Khairul Aming ini masih lagi beroperasi walaupun laporan telah dibuat. Isu menyamar dan penjualan produk palsu bukanlah perkara baharu tetapi sehingga kini masih belum mampu diperangi dengan jayanya.
Ramai artis tempatan kerap kali dijadikan umpan golongan tertentu untuk menarik minat orang ramai tanpa disedari. Kemudian proses memadam laman-laman palsu ini pula mengambil masa yang terlalu lama tidak seperti jika ia berlaku pada artis Barat. Hari ini Khairul Aming esok lusa siapalah pula?