Bagi anda yang tidak tahu mengenai TCL, mereka adalah sebuah pengeluar peranti yang memfokuskan skrin berasaskan kepada e-ink, disamping pembangunan skrin televisyen yang baik. Terbaru, selepas melancarkan TCL Tab 11 di Malaysia baru-baru ini, TCL hari ini telah melancarkan siri TCL 40 NXTPAPER 4G dan 5G di Malaysia, iaitu telefon pintar yang menggunakan skrin “seumpama kertas”.
TCL 40 NXTPAPER 4G
TCL 40 NXTPAPER 4G adalah telefon keluaran TCL yang paling premium atau berada dalam kategori mercu untuk siri ini. Ia hadir dengan skrin LCD 6.78-inci, FHD+ dan menyokong kadar segar semula mencapai 90Hz. TCL menyatakan sentuhan jari pada skrin akan rasa seperti menyentuh kertas, sihat untuk mata pengguna dan dikuasakan NXTURBO.
Telefon ini hadir dijana dengan cip pemprosesan Mediatek Helio G88, dipadankan dengan memori 8GB RAM dan storan dalaman 256GB yang boleh dikembangkan dengan kad mikro SD.
TCL 40 NXTPAPER 4G ini menggunakan tri-kamera belakang yang menggabungkan sensor 50MP f/1.8 (sudut lebar) + 5MP f/2.2 (sudut ultra lebar) + 2MP f/2.4 dengan sokongan rakaman video 1080p 30fps. Beberapa mod rakaman khusus disertakan, termasuk mod One Shot, Steady Snap, Bokeh dan beberapa lagi. Kamera swafoto pula adalah 32MP f/2.0.
TCL 40 NXTPAPER 4G ini dikuasakan bateri berkapasiti 5010mAh dengan sokongan pengecasan pantas 33W. TCL 40 NXTPAPER hanya hadir dengan sokongan WiFi 5, Bluetooth 5.1, NFC disediakan dan menggunakan pengimbas cap jari terbina pada butang kuasa. Speaker adalah stereo yang dikuasakan 3D Boom Sound oleh DTS.
Khusus untuk pasaran Malaysia, TCL 40 NXTPAPER 4G ini didatangkan dengan Artful T-pen iaitu sebuah stylus untuk menulis, melakar atau melukis dengan mudah pada skrin telefon tersebut. Menguasakan telefon ini adalah NXTPAPER UI, berasaskan TCL UI 5.0 Android 13.
TCL 40 NXTPAPER 5G
Walaupun menyertakan sokongan 5G, namun TCL seperti tidak begitu memfokuskan model ini untuk pasaran tempatan. TCL 40 NXTPAPER 5G hadir dengan skrin lebih kecil, iaitu LCD 6.6-inci beresolusi HD+ tetapi masih dengan kadar segar semula 90Hz. Teknologi skrin juga adalah sama. Ia dijana cip Dimensity 6020 yang dipadankan dengan memori 6GB RAM dan storan dalaman 256GB yang turut boleh dikembangkan dengan kad mikro SD.
Peranti ini turut mempunyai tiga kamera dengan sensor 50MP utama, selain sensor 2+2 Megapixel untuk kedalaman dan makro. Kamera swafoto juga sama iaitu 32MP. Bateri pula 5000mAh tetapi terhad kepada pengecasan 15W
TCL 40 NXTPAPER 5G turut tidak menyokong stylus seperti versi 4G, selain sokongan speaker terhad kepada mono sahaja. Sistem operasi dikekalkan sama, iaitu NXTPAPER UI berasaskan TCL UI 5.0 Android 13.
Harga
Di Malaysia TCL 40 NXTPAPER 4G dijual pada harga RM899. Sementara TCL 40 NXTPAPER 5G dijual pada harga RM999. Sempena pelancaran, TCL Malaysia menawarkan TWS percuma bernilai RM159 jika anda membeli versi 5G dari 10 Oktober ke 17 Oktober.