Beberapa tahun kebelakangan ini, platform kandungan video dilihat tampil dengann penawaran yang cukup banyak sekali. Di Malaysia sahaja, terdapat pelbagai platform dimana para pengguna boleh manfaatkan untuk pelbagai jenis tontonan.

Walaupun begitu, tinjauan dari Kantar, kumpulan penganalisa data dari London telah mengeluarkan tinjauan yang mengatakan bahawa YouTube merupakan platform tontonan video nombor satu di Malaysia.
Perkara ini diumumkan oleh Loh Ben Jern, Ketua YouTube Malaysia sewaktu acara penyampaian acara YouTube Works Malaysia, yang memperlihatkan sembilan kempen tempatan yang akan mewakili Malaysia di acara YouTube Works South East Asia yang akan berlangsung di Jakarta pada 12 Oktober ini.
Menurut Ben Jern, rakyat Malaysia dilihat tidak mempunyai masalah untuk menonton kandungan video pendek melalui YouTube Shorts mahupun video tradisional yang lebih panjang dan mendalam. Malah, YouTube Shorts digunakan sebagai cara untuk para penonton menemui kandungan baru, khususnya apabila algoritma Shorts membolehkan penonton di Malaysia menikmati kedua-dua jenis kandungan dengan mudah.
Dalam pada itu, beliau juga mengatakan bahawa kandungan muzik Lo-Fi yang dimuat-naik dari Malaysia telah meningkat sebanyak 25x dari Jun 2020 ke Jun 2023 tahun ini, menunjukkan bagaimana terdapat banyak ahli muzik kreatif yang mencipta kandungan muzik yang didengari ramai di negara ini.
Satu lagi statistik menarik yang diperlihatkan juga ialah 50 peratus daripada waktu tontonan kandungan yang dibangunkan di Malaysia juga sebenarnya datang dari luar negara, memberi gambaran bahawa kandungan tempatan kita juga mempunyai jumlah penonton yang ramai dari luar negara.
Dengan ini, ia tidak begitu mengejutkan untuk melihat sembilan kempen pemasaran video tempatan mewakili Malaysia ke acara YouTube Works South East Asia di Jakarta dalam beberapa hari sahaja lagi.