Kempen U Mobile, Sooka Dan Sunsilk Dinobatkan Pemenang Anugerah Youtube Works ‘Best Of Malaysia’.
Rihhadatul Aisy

Youtube Malaysia hari ini mengadakan majlis Anugerah Youtube Works ‘Best Of Malaysia’ bagi memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada beberapa jenama yang telah menggunakan Youtube sebagai platform bagi berhubung dengan khalayak sasaran mereka.
Terdapat sembilan finalis yang tersenarai bagi anugerah berkenaan dan tiga akhirnya telah dipilih sebagai pemenang. Tempat ketiga dimenangi oleh Sunsilk Malaysia dalam kempen Blackpink Fandom First, tempat kedua pula dimenangi oleh Sooka Malaysia dalam Kempen Liga Malaysia 2023 dan Youtube Malaysia memberikan penganugerahan tempat pertama kepada U Mobile yang tampil dengan kreativiti dalam karya mereka menerusi kempen Tahun Baru Cina.
Bukan itu sahaja, Youtube juga menyenaraikan beberapa nama finalis yang akan menyertai Anugerah YouTube Works South East Asia 2023 dalam enam kategori iaitu The Big Bang, The Long and Short, The Collaborator, The Fire Starter, The Changemaker dan The Connected Canvas di Jakarta, Indonesia pada 12 Oktober depan. Finalis lain yang terlibat ialah McDonald, Berroca, Colgate, MR DIY, Hong Leong. Kesemuanya tampil dengan hasil karya dengan mempersembahkan kepelbagaian kreativiti yang menarik.

Menurut Youtube, penilaian yang dibuat bukan sahaja dinilai dari segi kreativiti tetapi keupayaan karya yang dihasilkan dalam memberikan kesan dan impak berkesan kepada khalayak sasaran serta sejauh mana mereka memaksimumkan keupayaan platform Youtube dalam mempromosikan perniagaan. Perkara ini sekaligus memberikan keuntungan kepada kedua-dua pihak.