Carian
NVIDIA Dilihat Mahu Melancarkan Satu Arkitektur GPU AI Setiap Tahun – Bermula Dengan Blackwell
October 11, 2023 Nazrin

NVIDIA ialah sebuah jenama teknologi yang cukup terkenal untuk penawaran cip grafik mereka yang dimanfaatkan bukan sahaja untuk tujuan gaming, tetapi juga tugasan-tugasan penting lain seperti olahan video, grafik 3D dan kecerdasan buatan.

Terkini, syarikat tersebut telah mengeluarkan pengumuman bahawa mereka berhasrat untuk melancarkan satu arkitektur GPU kecerdasan buatan setiap tahun, bermula dengan penawaran seterusnya mereka yang bernama Blackwell pada tahun 2024 kelak.

Sebagai perbezaan, penawaran cip grafik AI mereka sekarang, yang dinamakan Hopper dilancarkan pada bulan September 2022, memberikannya jangkahayat selama dua tahun sebelum NVIDIA memperlihatkan penawaran terbaru mereka.

GPU NVIDIA H100

NVIDIA memperkenalkan kad grafik NVIDIA H100 untuk tujuan pembelajaran mesin dan kecerdasan buatan, dan nampaknya ialah kad grafik yang paling popular kini, dimana banyak pusat penyelidikan telah membelinya untuk tujuan tersebut.

NVIDIA dijangka akan memperkenalkan cip grafik AI terbaru mereka pada penghujung 2024 kelak, dimana mereka mengatakan penawaran seterusnya akan tiba pada tahun 2025 pula. Menurut NVIDIA sendiri, ini adalah untuk memastikan bahawa mereka mengekalkan kedudukan mereka sebagai pembekal cip kecerdasan buatan nombor satu di dunia.

Walaupun begitu, sebelum mereka melancarkan cip AI Blackwell, mereka akan memperkenalkan kad grafik NVIDIA H200 terlebih dahulu, yang diperlihatkan sebagai penambahbaikan prestasi kepada cip H100 sedia ada.

Komen