Di media sosial ada akaun yang menawarkan perkhidmatan menyunting gambar. Ada yang meminta orang di latar belakang dibuang pada gambar percutian dan ada juga yang meminta menambah insan yang tidak hadir ketika acara perkahwinan. Proses menyunting ini memerlukan kepakaran dalam Photoshop yang tidak dimiliki ramai. Di Adobe Max pagi ini, teknologi Project Stardust diperlihatkan dengan ia membolehkan sesiapa sahaja mempunyai kepakaran ini.
Menerusi kecerdasan buatan Project Stardust boleh menganalisa gambar yang dimuat naik. Kemudian ia boleh memberikan sarana objek yang boleh dipadam. Dengan satu klik sahaja ia boleh dipadam tanpa perlu dipilih oleh pengguna. Seterusnya objek boleh ditambah menggunakan kuasa kecerdasan buatan (AI) Adobe Firefly.


Objek yang dijana kemudiannya boleh diubah saiz, orientasi dan diletakkan di belakang subjek utama gambar. Ia adalah seakan Generative Fill tetapi untuk objek berbeza yang kemudian boleh disunting mengikut keperluan.
Stardust juga boleh digunakan untuk mengubah pakaian yang dipakai oleh individu dalam gambar. Sekali lagi Adobe Firefly akan menjana pakaian yang diinginkan berdasarkan prom yang dimasukkan oleh pengguna

Akhir sekali dan ini mungkin ciri paling menakjubkan ialah Stardust boleh memisahkan individu dalam satu gambar berkumpulan. Pada demo yang diperlihatkan gambar empat orang individu boleh diubah menjadi satu sahaja. Yang menjadikan Stardust unik ialah individu tang terpilih pada asalnya tersorok. Adobe Firefly boleh mengagak bahagian muka dan baju yang tersorok dan kemudian menjana bahagian yang tiada pada imej asal. Kesemua demo yang diperlihatkan hari ini termasuk Stardust masih lagi di peringkat ujian di Adobe.
