Kecerdasan buatan (AI) dilihat mampu menggugat kerjaya yang boleh dilalukan oleh manusia. Tetapi dalam tugasan seperti memandu kapal terbang misalnya, ramai masih belum benar-benar percaya dengan kemampuan AI untuk menerbangkan pesawat penumpang dengan selamat. Penyelidik di MIT Computer Science and Artificial Intelligence Laboratory (CSAIL) telah mengumumkan AI Air-Guardian yang direka untuk membantu juruterbang manusia dan bukan untuk menggantikan tugas mereka.
Air Guardian akan memantau sistem pesawat, visual di hadapan pesawat dan menjejak mata juruterbang sepanjang masa. Ia proaktif dan bukan hanya diaktifkan apabila diperlukan seperti sistem autopilot yang digunakan pada pesawat komersil semasa. Ia boleh memberikan arahan jika mengesan bahaya dan memberikan saranan perjalanan yang lebih pendek. Air Guardian tidak mengambil alih tugas juruterbang sebaliknya berfungsi seperti seorang pembantu juruterbang manusia.
Tujuan utama Air Guardian dibangunkan ialah untuk menjadi sistem keselamatan sekiranya juruterbang hilang tumpuan dalam kokpit sehingga boleh mendatangkan bahaya. Selain digunakan dalam pesawat, Air Guardian juga boleh digunakan sebagai sistem keselamatan dalam kereta, dron dan bidang robotik. Kajian Air Guardian dilakukan oleh MIT dengan bantuan Tentera Udara Amerika Syarikat (USFA), Boeing dan Pejabat Kajian Tentera Laut Amerika.