Adobe Firefly merupakan satu komponen kecerdasan buatan yang membolehkan pengguna hanya memasukkan arahan, dan imej atau suntingan dapat dilakukan dengan mudah. Di ucaptama acara Adobe MAX 2023 kali ini, mereka telah mengumumkan Adobe Firefly kini menyokong janaan grafik vektor, dan ia merupakan satu pembaharuan yang lebih baik.

Menerusi ‘Firefly Vector Model’, pengguna boleh menjana sebarang grafik vektor dari arahan, dan Firefly akan menjana beberapa variasi berasaskan arahan tersebut. Memandangkan ia merupakan grafik vektor, pengguna juga boleh melakukan manipulasi secara terus untuk sebarang elemen yang telah dijana Firefly. Bukan sahaja setiap garisan vektor yang anda boleh sunting, malah ia janaan ini juga turut diasingkan secara ‘Layers’, memudahkan sebarang pemilihan objek vektor dilakukan.
Selain dari itu, manfaat dari grafik vektor adalah pengguna boleh menghasilkan apa sahaja produk dengan grafik berkualiti tinggi, dan boleh disesuaikan dengan sebarang produk, termasuklah untuk menghasilkan produk percubaan, sebelum menghantarnya untuk produksi akhir. Dan memandangkan ia digunakan dalam Illustrator, tidak mustahil janaan AI yang sama boleh digunakan untuk perisian Adobe yang lain.

Untuk janaan vektor ini, Adobe Firefly Vector Model telah menggunakan data yang dilatih dari Adobe Stock, dan ini sekaligus memastikan janaan mereka tidak melanggar apa-apa hakcipta dan pemilikan yang lain. Fungsi Firefly Vector ini masih dalam Beta, dan akan dilancarkan tak lama lagi.