Carian
Adobe Perlihatkan Beberapa Lagi Teknologi AI Untuk Meningkat Kualiti Video, Audio Dan Menjana Kesan Khas
October 12, 2023 Fahim Zahar

Adobe hari ini telah mengumumkan beberapa ciri AI generatif baharu untuk aplikasi-aplikasi mereka di dalam Creative Cloud. Antaranya adalah Project Stardust yang boleh membuang objek di latar dengan AI, kemas kini Firefly yang boleh menjana vektor dan juga Project Primrose iaitu teknologi pakaian yang boleh mengubah corak sekelip mata.

Selain itu, Adobe turut mengumumkan beberapa ciri AI generatif untuk video. Pertama adalah Project Fast Fill yang menggunakan AI generatif untuk menambah objek di dalam video. Menariknya, objek yang ditambah tadi turut akan terkesan dengan perubahan pencahayaan yang berlaku di dalam video.

Kedua adalah Project Scene Change yang boleh menggabungkan dua video menjadi satu. Misalnya jika anda ada video diri sendiri di dalam persekitaran pejabat dan video pemandangan di tempat pelancongan menarik, dua video ini boleh menjadi satu seakan anda sendiri yang sedang bercuti.

Adobe turut mempunyai Project Res Up, di mana satu video atau GIF beranimasi boleh dinaikkan resolusinya menggunakan AI. Video-video dan GIF lama boleh naikkan resolusinya sehingga empat kala berbanding sumber asal. Dalam demo yang diperlihatkan video gajah pada resolusi SD dinaikkan ke sekitar 1440P menerusi Res Up. Ia meningkatkan keperincian pada kulit dan air yang tidak dapat dilihat pada video asal.

Adobe turut memperlihatkan beberapa ciri AI generatif imej baharu seperti Project Draw and Delight di mana lakaran kanak-kanak boleh diubah menjadi lukisan profesional. Project Glyph Ease yang boleh mengubah muka taip pada grafik sedia ada.

Project Poseable yang boleh menjana imej dan kemudian menggunakan AI untuk mengubah posisi tubuh seperti muka pandang depan, tangan angkat ke atas dan sebagainya. Terdapat beberapa objek 3D tersedia pada Poseble. Pengguna hanya perlu memilih model dan prop yang ingin digunakan sebagai asas kepada imej yang dijana. Turut boleh dilakukan ialah mengambil gambar sedia ada dan Poseable kemudian boleh meniru gaya dalam gambar yang dimuat naik dengan hanya satu klik.

Project Dub Dub Dub pula adalah teknologi AI generatif yang boleh menterjemah fail audio dari satu bahasa ke bahasa lain. Pada masa yang sama turut boleh menghasilkan transkripsi teks yang telah diterjemah. Dalam demo di atas pentas bahasa yang disokong oleh Dub Dub Dub ialah Inggeris, Sepanyol, Perancis, Jerman, Jepun, Mandarin, Yahudi dan Arab. Satu kekurangan yang ada pada Dub Dub Dub ialah pergerakan mulut tidak selari dengan audio yang dijana.

Project See Through pula adalah ciri yang membolehkan AI membuang kesan pantulan cahaya pada mana-mana gambar. Misalnya gambar haiwan peliharaan yang diambil dari luar tingkap, gambar ini boleh menjadi seakan tiada tingkap.

Setiap ciri baharu ini akan ditawarkan sama adalah dalam aplikasi-aplikasi di Adobe Creative Cloud ataupun versi web. Buat masa ini kebanyakan projek ini adalah beta, masih dalam pembangunan atau juga konsep dan masih tiada tarikh rasmi bila ia boleh digunakan oleh semua.

Pada hemat saya ini adalah antara ciri yang sangat menarik untuk yang tidak begitu kreatif dalam penggunaan Photoshop dan lain-lain. Apa pendapat anda pula?

Komen