Carian
DHL Menggunakan Rangkaian 5G CelcomDigi Untuk Sistem Automasi Di Gudang Mereka
October 12, 2023 Nazrin

Salah satu sebab mengapa kerajaan membangunkan rangkaian 5G tempatan ialah bukan sahaja untuk menawarkan sambungan internet yang lebih laju untuk rakyat, tetapi juga supaya ia boleh dimanfaatkan dalam pelbagai jenis industri dan membolehkan syarikat-syarikat tempatan untuk beroperasi dengan lebih cekap lagi.

Satu contoh terbaru yang diperlihatkan ialah DHL Malaysia, yang mana mereka telah memulakan proses automasi di gudang penyimpanan barangan DHL Supply Chain Malaysia yang terletak di Shah Alam dengan bantuan kelengkapan rangkaian 5G oleh CelcomDigi.

DHL menggabungkan rangkaian 5G CelcomDigi, bersama-sama dengan penggunaan dron, robot dan sistem kecerdasan buatan untuk membangunkan sebuah sistem pengurusan inventori dan juga pemeriksaan stok harian secara automatik.

Kelebihan penggunaan sistem dron dan robot ini ialah dron-dron ini langsung tidak memerlukan sebarang input ataupun arahan daripada pekerja manusia, dan ia juga mampu mengurus dan juga memeriksa stok di dalam gudang DHL Supply Chain sepanjang hari tanpa perlu berhenti.

Malah, pihak DHL Malaysia mengatakan bahawa secara purata, pekerja manusia mampu memeriksa sekitar 1000 palet produk setiap hari, yang mana proses ini termasuklah mengimbas kod QR produk dan menyemak-balik dengan pangkalan data DHL.

Sewaktu fasa ujian penggunaan dron-dron ini, DHL mengatakan sebanyak 8000 palet barangan dapat diperiksa dengan cepat dan tanpa sebarang kesilapan dan membolehkan para pekerja dimanfaatkan untuk tugasan-tugasan yang lain.

Apa yang menarik lagi mengenai kolaborasi ini ialah DHL menggunakan rangkaian komersil 5G CelcomDigi yang sama digunakan oleh para pelanggan syarikat telekomunikasi tersebut. Malah, mod sambungan ialah menggunakan frekuensi sub-6 (3.4-3.5GHz) dan bukan mmWave yang secara lazimnya digunakan di lokasi-lokasi seperti ini.

Ini menunjukkan kualiti rangkaian sedia ada yang boleh dimanfaatkan bukan sahaja oleh rakyat biasa, tetapi syarikat-syarikat dalam mengoptimasikan operasi harian mereka.

Pengarah Urusan DHL Supply Chain Malaysia, Mark Lorenz turut mengatakan bahawa mereka akan memperlihatkan bagaimana dron dan robot mereka berfungsi secara penuh di gedung Shah Alam mereka, sebelum membuat keputusan untuk menggunakan sistem yang sama di gedung-gedung mereka yang lain di seluruh Malaysia.

Komen