Vivo Didakwa Menyeludup $13 Bilion Keluar Dari India
Effi Saharudin
Beberapa hari yang lalu lima eksekutif Vivo telah ditahan di India kerana tuduhan melakukan pengubahan wang haram. Dalam dokumen pertuduhan yang difailkan di mahkamah semalam, India mendakwa Vivo telah menyeludup keluar $13 bilion keluar daripada negara secara rahsia bagi mengelak membayar cukai.

Pada waktu yang sama Vivo dikatakan melakukan kesalahan visa kerana maklumat kakitangan mereka yang dipalsukan. Kakitangan ini juga dikatakan melanggar garis panduan visa yang menghalang mereka daripada melawat kawasan Kashmir dan Jammu yang sedang bergolak.
Penahanan seorang eksekutif warga China kini dipantau oleh kerajaan negara tersebut yang risau dengan perkembangan terkini. Hubungan antara China dan India sudah lama tegang disebabkan oleh pertelagahan mengenai sempadan. Ia menjadi semakin teruk selepas berlaku pertempuran mengakibatkan kematian di sempadan Himalaya.
India mengharamkan ratusan aplikasi dari China seperti TikTok, PUBG Mobile dan Free Fire kerana didakwa boleh digunakan bagi tujuan intipan. Ia turut mengakibatkan pengeluaran pelbagai produk elektronik di India tergendala kerana komponen tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam negara.
[sumber] Reuters [/sumber]