Carian
Infinite Machines P1 Diperkenalkan – Skuter Mini Pada Harga Sekitar RM 47,000
October 13, 2023 Ikhwan Nazri

Arena skuter elektrik menunjukkan kepesatan dan semakin banyak pengeluar hadir dengan tawaran tersendiri dan turut hadir dengan rekaan yang radikal. Infinite Machines telah hadir dengan skuter elektrik mereka iaitu P1 dengan rekaan yang sangat futuristik. 

Infinite Machine P1 mempunyai kelajuan maksimum 88 km/j dengan kuasa maksimum motor 12kW, disokong bateri berkapasiti 4.3 kW yang boleh ditanggalkan bagi membolehkan pengguna mengecasnya di rumah. Pada pengecasan penuh, ia mampu pergi sejauh 90km, dan lengkap dengan tiga mod tunggangan iaitu Eco, Performance, Turbo Boost serta mempunyai fungsi undur. Masa diperlukan untuk mengecas penuh bateri ini adalah sekitar 4-6 jam.

Apa yang membezakan Infinite Machines P1 dengan model lain di pasaran adalah ia mengetengahkan rekaan modular pada bahagian tepi skuter ini, yang boleh ditukar dari memuatkan beg, memuatkan dua bateri tambahan, atau turut membawa pembesar suara. Ini memberikan lebih ruangan storan selain dari storan yang tersedia di bawah tempat duduk dan di bawah gagang skuter. 

Turut membezakan skuter ini dengan yang lain adalah mereka menyatakan ini adalah skuter pertama dalam kelasnya yang menyokong tambatan nirwayar Apple CarPlay dan Android Auto. Jadi pengguna boleh mempunyai kesemua akses aplikasi tanpa sebarang had. Namun begitu, mereka turut menyatakan yang ia mungkin tidak sesuai digunakan dalam keadaan hujan yang terlalu lebat atau keadaan bersalji.

Infinite Machines telah membuka pra-tempah skuter ini pada harga $10,000 (~ RM 47,000) dan ia terhad kepada 1000 unit untuk pasaran Amerika Syarikat sahaja buat masa ini. Pembeli juga dijangka akan menerima skuter ini sekitar 12-18 bulan dan mereka turut menyatakan rekaan sekarang dalam versi Alpha dan berkemungkinan akan ditambahbaik untuk produksi akhir. 

Komen