Carian
215 Menara Komunikasi Yang Dibina Secara Haram Telah Dikenalpasti Di Perak
October 13, 2023 Nazrin

Ketersambungan teknologi komunikasi merupakan salah satu daripada perkara utama yang dititikberatkan oleh kerajaan tempatan dan persekutuan, tetapi kadang-kala ia juga dilihat bahawa ada sejumlah syarikat telekomunikasi yang menggunakan taktik yang tidak begitu molek untuk memastikan lebih banyak lokasi dapat menerima sambungan internet mudah-alih.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri Perak Mohd Azlan Helmi hari ini mengatakan bahawa pihak beliau telah menemui sebanyak 215 menara telekomunikasi yang dibina secara haram di 12 kawasan di negeri tersebut.

Menara Telekomunikasi

“Kerajaan negeri telah melaksanakan Program Pemulihan Struktur Telekomunikasi negeri Perak pada tahun 2021 yang telah dilanjutkan sehingga 30 Jun 2023 bagi memberi peluang kepada pihak yang berkenaan untuk membuat permohonan bagi mendapatkan permit sah daripada pihak berkuasa tempatan dan juga pejabat daerah dan tanah tempatan”.

Beliau mengatakan bahawa jumlah yang dikatakan adalah jumlah menara haram terkini, yang mana masih terdapat 83 menara haram di Ipoh. 31 di Manjung dan Taiping, 14 di Teluk Intan, 12 di Kuala Kangsar dan Tanjung Malim, 9 di Kerian, 8 di Tapah, 6 di Batu Gajah, 4 di Kampar dan Perak Tengah, dan 1 di Gerik.

Katanya lagi, syarikat-syarikat telekomunikasi ini diminta untuk membuat permohonan untuk mendapatkan permit rasmi dans ah untuk menara-menara ini, atau tidak mereka akan dikenakan kompaun dan juga tindakan penguatkuasaan yang lebih ketat lagi.

Komen