Carian
Activision-Blizzard Sah Diambil-alih Microsoft Untuk $69 Bilion Setelah Diluluskan Agensi Kerajaan UK
October 13, 2023 Nazrin

Pada awal tahun 2022, Microsoft telah membida untuk mengambil-alih syarikat pembangun permainan video Activision-Blizzard-King, yang terkenal untuk membangunkan siri permainan video seperti Assassins Creed, Call of Duty, World of Warcraft, Diablo dan Candy Crush.

Isu besar untuk Microsoft ialah mereka juga telah mengambil-alih sejumlah syarikat pembangun permainan video yang lain seperti ZeniMax (Bethesda), Double Fine dan id Software yang dilihat juga membangunkan permainan-permainan multi-platform yang sangat popular.

Activision Blizzard

Hari ini, pihak Competition and Markets Authority (CMA) di United Kingdom telah memberi tanda setuju untuk membenarkan Microsoft untuk mengambil-alih Activision-Blizzard-King pada harga $69 bilion (RM355 bilion) setelah bersetuju untuk memberikan hak penstriman permainan awanan kepada Ubisoft Games, yang memberikan syarikat tersebut hak penstriman permainan-permainan ABK selama sekurang-kurangnya 15 tahun selepas pengambil-alihan ini selesai.

Ini adalah untuk memastikan bahawa Microsoft tidak mendominasi semua pasaran penawaran perkhidmatan permainan konsol dan komputer sekarang, khususnya apabila mereka mempunyai pelan-pelan langganan seperti Xbox Game Pass Ultimate dan PC Game Pass yang menawarkan permainan pada harga langganan sahaja.

Pihak CMA juga dilihat bersetuju untuk membenarkan pengambilalihan ini setelah Microsoft turut menandatangani beberapa perjanjian untuk membolehkan permainan-permainan mereka untuk distrim pada platform penstriman permainan NVIDIA GeForce Now dan juga membawa siri permainan penembak pertama Call of Duty pada platform Nintendo Switch.

Komen