Dengan perkembangan teknologi dan digital, kita juga kini melihat peralihan kepada penggunaan pembayaran secara elektronik untuk pelbagai transaksi – melalui implementasi seperti bank atas-talian, dompet digital, DuitNow QR dan sebagainya.
Menyentuh mengenainya, Bank Negara Malaysia kini berkongsi menyatakan pada tahun 2022, sebanyak 9.5 bilion transaksi pembayaran secara elektronik telah dicatatkan – memperlihatkan peningkatan berbanding 7.2 bilion transaksi elektronik pada tahun 2021.
Disamping itu, BNM turut menyatakan secara purata, setiap rakyat Malaysia melakukan 291 transaksi pembayaran secara elektronik pada tahun 2022 – berbanding 222 purata transaksi pembayaran elektronik pada 2021.
Untuk tahun 2023, angka tersebut dijangka akan terus meningkat – apatah lagi dengan lebih ramai menggunakan sokongan DuitNow QR.
BNM turut menyatakan kini pendaftaran untuk penerimaan bayaran melalui kod QR telah meningkat, dan mencatatkan lebih 7 juta pendaftaran di Malaysia.