Rekod dunia jumlah penonton penstriman langsung tertinggi dunia kembali dipegang oleh Disney+ Hotstar. Perlawanan Piala Dunia Kriket antara India dan Pakistan yang distrim oleh Disney+ Hotstar pada 14 Oktober mencatatkan 35 juta penonton serentak. Ia memintas rekod terdahulu 32 juta penonton perlawanan Liga Kriket Perdana India (IPL) yang dicatatkan oleh JioCinema pada Mei lalu.
Rekod dunia baharu ini berjaya dicatatkan oleh Disney+ Hotstar kerana ia boleh ditonton secara percuma di India. Sejak kehilangan hak menayangkan liga IPL, Disney+ Hotstar kehilangan jutaan pelanggan yang turut menyebabkan Disney mencatatkan kerugian.
Penawaran acara sukan secara langsung adalah sumber kewangan yang tinggi dengan ia menjadi rebutan platform lain seperti Amazon dan Apple TV+. Ini sebab mengapa hak penstriman Liga Perdana Inggeris (EPL) menjadi rebutan pelbagai platform seperti Apple TV+ kerana ia dijamin dapat meningkatkan jumlah pelanggan.