Bersempena dengan ulang tahun ke-45 Micron, syarikat pembuat cip memori yang sangat terkemuka, mereka telah membuka kilang pemasangan terbaru mereka di kawasan perindustrian Batu Kawan, Pulau Pinang pada minggu lalu.
Pembukaan pusat tersebut telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Yang Amat Berhormat Tuan Chow Kon Yeow dan Micron dilaporkan telah membelanjakan sebanyak $1 bilion (~RM4.5 bilion) untuk membuka pusat terbaru ini yang akan merumahkan kelengkapan pemasangan dan pengujian komponen-komponen NAND dan DRAM terbaru yang dibangunkan oleh mereka.

Kilang tersebut merupakan kilang kedua Micron di Pulau Pinang, dimana kilang pertama mereka terletak di Kawasan Perindustrian Perai yang dibuka pada tahun 2015, dimana jumlah pelaburan syarikat tersebut di Malaysia dan Pulau Pinang adalah sebanyak $2 bilion (~RM9.5 bilion) setakat ini.
Menurut Naib Presiden Kanan Pemasangan dan Operasi Ujian Global Micron Technologies, Gursharan Singh, lokasi kedua Micron ini akan membolehkan syarikat tersebut untuk memasang dan menguji komponen-komponen memori dan storan mereka pada skala yang lebih besar, dan juga dengan masa kitaran yang lebih singkat.

“Peluasan ini membolehkan Micron Malaysia meningkatkan pengeluaran dan mengukuhkan lagi keupayaan pemasangan dan ujiannya untuk membekalkan modul NAND, PCRAM, dan SSD, khususnya kini, apabila keperluan untuk industri-industri seperti AI, automotif pintar dan sebagainya semakin meningkat.”
Beliau berkata Micron memberikan tumpuan berterusan terhadap kemampanan, seperti yang dapat dilihat menerusi reka bentuk kemudahan itu yang mematuhi sistem penarafan Kepimpinan dalam Reka Bentuk Tenaga dan Alam Sekitar (LEED), pensijilan bangunan hijau yang paling banyak digunakan di dunia.
Kilang pengeluaran Micron di Batu Kawan juga menggunakan aplikasi pembuatan pintar untuk mengoptimumkan kecekapan, hasil dan kualiti pengeluaran bagi memastikan Micron terus dapat menyediakan produk bertaraf dunia dengan cekap dan berkualiti.