Salah satu perkara yang mungkin tidak digemari ramai adalah perlu melakukan kemaskini perisian sebaik sahaja membeli iPhone baharu. Pihak Apple kini dikatakan bakal mengatasi masalah ini, bermula dengan pembelian iPhone di Apple Store.
Menurut perkongsian Bloomberg, Apple akan menyediakan sebuah peranti khusus untuk jurujual di Apple Store. Melaluinya, kotak iPhone baharu hanya perlu diletakkan di atas peranti ini, dimana ia seterusnya boleh memulakan iPhone berkenaan secara nirwayar, melakukan naik-taraf sistem operasi, dan seterusnya mematikan kembali iPhone tersebut.
Ini sekaligus akan membolehkan pembeli kemudiannya melakukan nyah-kotak dan menikmati iPhone dengan perisian terkini – tanpa perlu melakukannya secara manual di rumah.
Langkah ini juga dijangka akan membolehkan Apple mengatasi pelbagai pepijat pada iPhone baharu, serta memberikan pengalaman yang baik melalui kemaskini terkini.