Ketagihan media sosial ialah fenomena baharu yang wujud sejak pengenalannya dua dekad yang lalu. Bermula sebagai cara untuk merapatkan hubungan dengan teman dan sanak saudara, media sosial kini mewujudkan isu buli siber, penyebaran berita palsu, propaganda dan lebih serius lagi ketagihan. Di California, dua hakim membenarkan kanak-kanak untuk menyaman platform media sosial kerana menyebabkan ketagihan.
Ratusan saman telah difailkan ke atas platform media sosial TikTok, Snap, YouTube, Facebook dan Instagram di California kerana menyebabkan ketagihan di kalangan kanak-kanak. Platform media sosial keran menggunakan hak kebebasan suara yang termaktub dalam perlembagaan Amerika untuk mengelakkan diri mereka disaman.
Tetapi dua hakim di California mengatakan kes saman boleh diteruskan kerana pemilik platform mempunyai kuasa ke atas kanak-kanak bawah umur. Pelbagai ciri yang diperkenalkan pada platform boleh menyebabkan ketagihan pada kanak-kanak bawah umur. Oleh itu pemilik platform boleh dipersalahkan kerana menghasilkan platform yang mewujudkan ketagihan.
Keputusan hakim ini mirip dengan keputusan mahkamah ke atas penjual rokok elektronik/vape di Amerika Syarikat. Walaupun vape tidak dipasarkan kepada remaja bawah umur, ia menarik minat mereka kerana rekaan yang menarik, diiklankan sebagai tidak berbahaya dan ditawarkan dengan cecair perisa dengan nikotin yang menyebabkan ketagihan. Syarikat vape JUUL terpaksa membayar ganti rugi $462 juta kepada New York kerana taktik pengiklanan mereka didapati menyasarkan golongan remaja.
Sekiranya saman di California memihak kepada plaintif, ia akan mendatangkan impak yang besar kepada pemilik media sosial di Amerika Syarikat dan seterusnya dunia. Sudah ada pendapat bahawa media sosial akan dilihat sama bahayanya kepada kesihatan seperti rokok yang dahulu juga dikatakan baik untuk kesihatan. Adakah anda bersetuju dengan pendapat ini?