Sejumlah syarikat di China agak aktif dalam pembangunan model kecerdasan buatan tersendiri, dan diintegrasikan dalam pelbagai perkara untuk memudahkan tugasan manusia setiap hari. Baidu merupakan salah satu syarikat yang membangunkan model AI mereka tersendiri, dan terbaru mereka telah memperkenalkan versi terkini model AI mereka, iaitu Ernie 4.0.
Untuk makluman, Baidu merupakan gergasi internet di China, dengan fokus penawaran pada enjin carian, selain turut menyediakan sejumlah perkhidmatan lain.
Baidu mengatakan Ernie 4.0 ini setara dengan GPT-4 yang dibangunkan oleh OpenAI. Ia membolehkan model AI ini melakukan pelbagai perkara, termasuk menulis novel dalam masa-nyata berdasarkan input yang diberikan.
Baidu juga turut memperlihatkan Ernie 4.0 yang mampu menghasilkan poster untuk pengiklanan, selain video terus melalui kecerdasan buatan.
Ini boleh dikatakan antara perkembangan sihat oleh Baidu dan arena kecerdasan buatan. Sebelum ini, Baidu memperkenalkan chatbot yang dikuasakan Ernie pada bulan Mac 2023 lepas, dinamakan ErnieBot.