Deman kripto sudah agak reda berbanding kehangatan awal 2021. Walaupun penggunaan kripto dalam kehidupan seharian adalah rendah, Ferrari mengumumkan mereka akan mula menerima pembayaran pembelian kereta menggunakan wang kripto.
Pada peringkat awal kereta Ferrari boleh dibeli menggunakan wang kripto di Amerika Syarikat terlebih dahulu sebelum dikembangkan ke Eropah pada tahun 2024. Wang kripto yang diterima pula ialah Bitcoin, Ether, dan stablecoin USD menerusi perkhidmatan BitPay. Langkah diambil untuk menerima wang kripto kerana melihat permintaan yang tinggi di kalangan pelanggan muda yang merupakan pelabur dalam dunia wang kripto.
Pembelian kereta mewah adalah sinonim dengan pelabur kripto di seluruh dunia. Ferrari bukan syarikat pertama yang menerima pembayaran kripto. Beberapa tahun yang lalu di Malaysia sebuah pengedar Proton menerima pembayaran kripto sebelum ia digantung kerana dilakukan tanpa kebenaran syarikat.