Carian
Intel Melancarkan Cip Pemprosesan Generasi Ke-14 Raptor Lake Refresh Secara Rasmi
October 18, 2023 Nazrin

Intel akhirnya telah memperkenalkan dan melancarkan siri cip pemprosesan desktop generasi ke-14 mereka, Intel Raptor Lake Refresh secara rasmi, yang juga pada pendapat kami merupakan sebuah rahsia yang diketahui umum kerana ketirisan maklumat mengenainya.

Walaupun begitu, siri cip pemprosesan Intel Raptor Lake Refresh ini boleh dilihat sebagai siri CPU yang paling berkuasa mereka, khususnya melalui model paling berkuasa mereka, Intel Core i9-14900K yang hadir dengan 24 teras fizikal dan 32 bebenang kuasa dengan kelajuan turbo clock 6GHz yang diperlihatkan pada teras-teras prestasi model cip pemprosesan ini.

Fokus Intel dengan siri cip pemprosesan Raptor Lake Refresh ini nampaknya memfokuskan terhadap peningkatan IPC (instructions per clock) yang dilihat memberi manfaat terbanyak pada prestasi gaming khususnya.

Untuk mereka yang berminat untuk kembali melewahjam CPU, cip pemprosesan Intel Core i9-14900K khususnya memperlihatkan kebolehan lewahjam asas 6GHz, dan dengan sistem penyejukan yang lebih baik, ia dijangka boleh dilewahjam dengan lebih laju lagi, melangkaui 7GHz tanpa masalah.

Perisian Intel XTU (Xtreme Tuning Utility) juga dilihat menggunakan kecerdasan buatan untuk memudahkan lagi proses lewahjam yang boleh dimanfaatkan untuk pelbagai jenis tujuan yang memerlukan kuasa pemprosesan yang tinggi.

Jika sokongan lewahjam memori juga diperlukan, Intel turut mengatakan bahawa sokongan lewahjam memori Intel XMP kini menyokong kelajuan RAM selaju 8000MT/s.

Dari segi sokongan teknologi, cip pemprosesan Intel Raptor Lake Refresh juga dilihat menyokong teknologi sedia ada seperti WiFi 6/6E, PCIe 5.0, Bluetooth 5.3. Dari segi sokongan teknologi baru, cip pemprosesan ini juga menyokong teknologi masa hadapan seperti WiFi7 dan juga Thunderbolt 5.

Dari segi sokongan papan induk, oleh kerana ia masih lagi menggunakan soket LGA1700, semua papan induk dengan cipset Intel 600 dan 700 akan disokong oleh cip pemprosesan Raptor Lake Refresh ini.

Komen