PLUS Malaysia dan juga Gentari hari ini mengumumkan kerjasama dalam memperkenalkan stesen pengecas pantas kenderaan elektrik berbentuk modular mudah-alih. Pelancaran ini dilakukan di Hentian Sebelah Behrang (Arah Utara).
Menurut PLUS, sebanyak empat lokasi dicadangkan untuk ujian rintis, iaitu di Hentian Sebelah Behrang (Arah Utara dan Arah Selatan) di Perak dan Hentian Sebelah Senawang (Arah Utara dan Arah Selatan) di Negeri Sembilan. Tiga lagi lokasi yang akan dirancang selepas itu adalah di Hentian Sebelah Ajil (Arah Utara dan Arah Selatan) dan Kawasan Rehat & Rawat Perasing, yang terletak di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Terengganu.
Setiap lokasi ini menawarkan kuasa pengecasan DC sehingga 200kW, dan empat poin pengecasan disediakan di setiap lokasi. Menariknya mengenai pengecas modular mudah-alih ini juga adalah ia turut dilengkapi sistem simpanan kuasa bateri serta menggunakan tenaga solar. Memandangkan ia hadir dengan rekaan modular, maka ia boleh dipindahkan pada bila-bila masa mengikut lokasi yang memerlukannya.
PLUS dan Gentari akan melancarkan penawaran baharu ini secara berperingkat pada tahun 2023 dan 2024 ini di lokasi-lokasi yang dicadangkan berkenaan.