Meta Berkata Kandungan Facebook dan Instagram Pro Palestin Yang Dipadam Adalah Disebabkan Pepijat
Effi Saharudin
Perang di Gaza dan Israel turut berlalu di pelbagai platform media sosial dengan penyokong kedua-dua pihak yang bersengketa berperang pula di alam siber. Antara isu yang dilaporkan pengguna ialah kandungan Facebook serta Instagram mereka dipadam atau akaun mereka disorokkan menerusi teknik shadow ban. Kandungan pro Palestin dilihat paling banyak terkesan membuatkan ramai menuduh Meta memihak kepada Israel.

Pengarah Komunikasi Meta, Andy Stone walau bagaimanapun berkata ini bukanlah tindakan yang disengajakan oleh platform. Sebaliknya disebabkan oleh pepijat pada sistem yang telahpun dibaiki. Menurut beliau pengguna memuat naik kandungan yang menunjukkan aksi ganas yang dikesan oleh sistem. Oleh sebab itulah terdapat banyak Reels yang menunjukkan keadaan selepas Gaza dibom telah dipadam secara automatik.
Isu kandungan grafik yang memaparkan kematian dan kecederaan teruk sememangnya tidak dibenarkan oleh pelbagai platform. Tetapi adakah ia perlu dikuatkuasakan dalam situasi konflik?
[sumber] andymstones [/sumber]