Ia bukanlah satu rahsia bahawa kerajaan Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya tidak mahu China maju kehadapan apabila bercakap mengenai kuasa perkomputeran dan kemajuan teknologi kecerdasan buatan. Pelbagai sekatan ekonomi telah dilakukan, dan nampaknya akan terus dilakukan untuk memastikan ia tidak berlaku.
Terkini, kerajaan Amerika Syarikat telah mengumumkan bahawa eksport untuk kad-kad grafik NVIDIA A800 dan NVIDIA H800 ke syarikat-syarikat teknologi China akan diharamkan. Dalam pada itu, dua syarikat pembuat cip China, Biren dan Moore Threads juga tidak akan dibenarkan untuk mengakses kelengkapan membuat cip pemprosesan berkualiti tinggi tidak lama lagi.
Halangan eksport cip-cip pemprosesan A800 dan H800 ini adalah sesuatu yang unik kerana pada tahun lepas, NVIDIA dibenarkan untuk mengeksport komponen-komponen ini dan juga Gaudi 2 oleh Intel ke negara tersebut, dengan syarat sejumlah komponen dan juga teknologi tidak dimuatkan kedalamnya.
Ini bukan satu masalah kerana apa yang penting ialah prestasi komponen-komponen ini yang tidak terjejas akibat perubahan-perubahan ini. Kerajaan Amerika nampaknya semakin nekad untuk melebarkan jurang teknologi China dan mereka sendiri dengan pengumuman terbaru ini.
Gina Raimondo, Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat mengatakan bahawa sekatan terbaru ini dilakukan untuk memastikan bahawa keselamatan negara terjaga dan juga untuk memastikan bahawa hak asasi manusia terjaga, khususnya apabila melihat kepada bagaimana kerajaan China menggunakan teknologi ini untuk mengawasi tingkah-laku rakyat mereka.
Berkenaan Biren Technologies dan Moore yThreads, sekatan terbaru ini bermakna bahawa mereka tidak lagi boleh mengakses perkhidmatan pembuatan cip pemprosesan TSMC yang dinikmati mereka sebelum ini.