NVIDIA Dan Foxconn Mengumumkan Kerjasama Untuk Bangunkan “Kilang AI”
Aman
NVIDIA yang menghasilkan pelbagai cip dan perisian yang digunakan meluas dalam arena kecerdasan buatan, kini mengumumkan kerjasama dengan Foxconn dalam membangunkan sebuah “kilang AI” secara bersama.

Seperti ramai sedia maklum, Foxconn merupakan nama yang tidak asing lagi dalam pengeluaran barangan elektronik – bukan sahaja peranti seperti iPhone, tetapi juga turut memperluaskan penawaran kepada pengeluaran kenderaan elektrik. Pada awal Januari 2023 lepas, Foxconn dan NVIDIA turut mengumumkan kerjasama dalam pembangunan platform kenderaan autonomi.

Melalui “kilang AI” ini, ia akan memfokuskan kepada pusat data yang menghimpunkan pelbagai data melibatkan pengeluaran, dan menggunakannya dalam penghasilan akhir.
Melalui contoh yang diberikan melibatkan penghasilan kenderaan, apabila kenderaan dipasarkan ia akan digunakan pengguna dan mengumpulkan pelbagai data berkenaan penggunaan dan bagaimana ia berfungsi. Data berkenaan akan disalurkan terus ke “kilang AI” ini, yang mana seterusnya akan menambah-baik dan mengimplementasi pada pengeluaran seterusnya.

Dengan langkah ini juga, Foxconn berkongsi ingin turut beralih daripada sebuah syarikat memfokuskan perkhidmatan pengeluaran kepada syarikat yang memfokuskan kepada platform penyelesaian. Antara arena yang turut dilihat selain pengeluaran pintar adalah pembangunan bandar pintar.