Carian
HP
Pandang Pertama HP Spectre Fold – Berbaloikah Komputer Boleh-Lipat Pada Harga RM24K Ini?
October 19, 2023 Fahim Zahar

Pada acara SXSW Sydney, HP telah memberikan peluang untuk mencuba komputer riba dengan rekaan skrin boleh-lipat pertama keluaran HP, iaitu HP Spectre Fold yang berharga RM23,999. Ini adalah jawapan HP kepada komputer skrin boleh-lipat yang ditawarkan pesaing lain seperti Lenovo. Jelas sekali harga hampir RM24,000 untuk sebuah komputer riba adalah sangat tinggi. Jauh lebih mahal jika dibandingkan dengan komputer lain dalam keluarga Spectre.

Kong Koh Meng, Naib Presiden & Ketua Kategori Sistem Peribadi Greater Asia HP ada memberikan salah satu sebab ia ditawarkan pada harga tinggi adalah kerana Spectre Fold adalah gabungan laptop premium dan tablet bersaiz besar, selain turut membawakan format peranti skrin boleh-lipat dalam rekaan semua-dalam-satu.

Koh Meng turut menyatakan yang ini adalah produk generasi pertama HP yang cuba menyelesaikan masalah untuk tidak lagi perlu membawa banyak peranti pada sesuatu masa. Jika sambutan laptop ini baik, mereka mungkin akan mempertimbangkan penawaran versi lebih mampu milik.


SPESIFIKASI Dan REKAAN

HP Spectre Foldable 17-cs0097nr
Skrin17″ OLED 2.5K (1920 x 2560), Skrin sesentuh,
SDR 400 nits, HDR 500 nits
CPUIntel Core i7-1250U, 4.7 GHz + Intel Turbo Boost Technology
12 MB L3 cache, 10 teras
GPUIntel Iris Xᵉ Graphics
RAM16 GB LPDDR5-5200 MHz RAM
Storan1 TB PCIe Gen4 NVMe TLC M.2 SSD
Kamera Utama5MP HP True Vision + AI
I/O2x USB-C Thunderbolt 4
1x 5 PIN (pada papan kekunci)
Bateri94.3 Wh, 6-sel
100W USB-PD, 50% dalam masa 45 minit
SIM/TelefoniTiada
WiFi/BluetoothIntel Wi-Fi 6E AX211 (2×2)
Bluetooth 5.3
Bicu AudioTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengesanan kehadiran manusia dengan kamera AI
Harga JualanRM23,999Jualan Bermula 20 November

Tahun lepas Asus Malaysia ada membawa masuk ASUS ZenBook 17 Fold OLED namun penawarannya amat terhad dan kini ia tidak lagi dijual. Ini menjadikan HP adalah pengeluar laptop seterusnya di Malaysia cuba menguasai pasaran tempatan dalam kategori komputer riba skrin boleh-lipat. ZenBook 17 Fold OLED mempunyai spesifikasi lebih kurang sama dengan Spectre Fold 17 tetapi mempunyai berat 1.99kg. Spectre Fold 17 mempunyai berat 1.35kg dan 1.62kg bersama papan kekunci. Ia juga adalah yang paling nipis iaitu 0.84 cm berbanding ASUS 1.29 cm.

HP menggunakan engsel berbentuk “U” bagi memberikan ruang untuk papan kekunci nirwayar disimpan apabila komputer riba ini dilipat. Permukaan luaran Spectre Foldable menggunakan kemasan kusam berwarna Slate Blue tetapi amat mudah menangkap kotoran cap jari. Agak aneh di sini kerana kemasan kusam sepatutnya menyelesaikan isu kotoran seperti ini.

Di sisi kiri terdapat kekisi speaker dan empat pad getah berbentuk empat segi untuk ia berdiri dengan sendiri dalam mod desktop AIO. Selain memberikan geseran ke permukaan meja bagi mengelakkan ia melungsur jatuh ke bawah, ia turut melindungi sisi kiri Spectre Foldable daripada kesan calar jangka panjang.

Butang laras suara dan port USB-C pertama berada di kanan sementara di bahagian atas terdapat butang kuasa dan suis privasi untuk mematikan kamera. Di bahagian bawahnya terdapat pelapik getah berbentuk bujur yang panjang seperti kebanyakan komputer riba cuma ia boleh berubah menjadi tongkat untuk mendirikan Spectre Foldable di atas meja. Penyelesaian yang cukup bijak kerana pada pesaing seperti ThinkPad X1 Fold yang memerlukan kerangka tambahan untuk menjadi tongkat.

Pelapik getah merangkap tongkat Spectre Foldable

PENGALAMAN PENGGUNAAN

Saya amat teruja apabila dapat menyentuh laptop ini sama seperti perasaan saya apabila kali pertama menggunakan Oppo Find N dua tahun lepas. Spectre Fold mempunyai empat mod iaitu laptop biasa 12.3″ dan mod dwi-skrin dengan satu skrin 12.3″ di atas dengan sebuah skrin kecil sekunder di atas papan kekunci, mod tablet dan AIO yang bersaiz 17″.

Engsel Spectre Foldable cukup kukuh dan menariknya dalam keadaan terbuka, kesan lipatan tidak begitu kelihatan. Tidak kira sama ada menggunakan gambar latar gelap atau gambar latar terang. Malah melipat dan menutupnya juga memberikan rasa yang memuaskan. Sokongan skrin sesentuh pada saya tidak begitu lancar kerana kadar segar semula sekadar 60Hz.

Namun dengan menggunakan stilus yang disediakan dengan setiap pembelian ia terasa lebih lancar seakan melukis dan menulis pada iPad Air M1. Kualiti skrin adalah sangat cantik, lagi-lagi dengan sokongan IMAX Enhanced yang menurut HP buat masa ini terhad dengan Disney+ sahaja (bukan Hotstar). Sayang sekali kecerahan skrin terhad kepada 500 nits yang bermakna ia hanya sesuai digunakan di kawasan tertutup sahaja. Di bawah sinaran matahari yang lebih cerah kandungan tidak dapat dilihat dengan jelas.

Spectre Fold mempunyai spesifikasi yang baik melancarkan aplikasi yang banyak atau membuka banyak tetingkap serentak adalah sama dengan komputer riba produktiviti premium lain. Masalah lengah masa yang saya hadapi hanyalah apabila papan kekunci diletakkan di separuh kedua skrin untuk mod 12.3″ dan mod 14″. Windows 11 mengambil masa beberapa saat untuk mengubah resolusi skrin iaitu masalah yang sama berlaku pada Samsung Galaxy Z Fold generasi pertama.

Bercakap mengenai papan kekunci, apa yang HP tawarkan adalah lain daripada yang lain kerana ia menyokong pengecasan nirwayar di atas skrin selain turut menyokong pengecasan pantas dengan kabel bermagnet 5-pin dan USB-C mereka. Papan kekunci ini turut mempunyai pad sesentuh terbina yang lancar cuma saiznya agak kecil dan mengambil masa yang sedikit lama untuk membiasakan diri. Dari segi audio, speaker Bang & Olufsen masih tidak memuaskan dan saya yakin HP boleh menawarkan audio yang lebih baik untuk generasi kedua nanti.

Saya tidak sempat menguji ketahanan bateri tetapi HP mendakwa dengan teknologi Intel Evo ia boleh bertahan sehingga 12.5 jam yang setanding dengan kebanyakan komputer riba produktiviti premium yang lain. Ia turut menyokong pengecasan pantas 100W USB PD yang boleh mengecas sehingga tahap 50% dalam masa 45 minit.

Akhir sekali adalah sistem sekuriti AI yang HP gunakan seperti boleh menghidupkan skrin apabila mengesan kehadiran manusia dan mengunci skrin apabila ia ditinggalkan. Ia turut boleh memberi amaran kepada pengguna jika ada orang lain sedang mengintai dari belakang. Ciri ini menggunakan kamera 5MP HP True Vision dengan sensor infra merah. Sistem AI ini turut boleh menjejak tangan pengguna untuk kawalan gestur seperti menjeda/memainkan media dan menatal skrin seakan mempunyai kuasa the Force.

APA ADA DALAM KOTAK?

Ini adalah apa yang HP berikan dengan setiap pembelian Spectre Fold 17.

  • 1x HP Spectre Foldable 17-cs0097nr.
  • 1x Pengecas USB-C 100W dengan kabel.
  • 1x Kabel bermahnet 5-pin USB-C untuk papan kekunci.
  • 1x Papan kekunci nirwayar.
  • 1x Stilus HP Rechargeable MPP2.0 Tilt Pen.

KESIMPULAN

HP memberitahu saya Spectre Fold bukan disasarkan untuk semua pengguna. Sebaliknya hanyalah untuk peminat tegar teknologi yang ingin mencuba inovasi baharu dan mereka memiliki banyak peranti tetapi terasa leceh untuk membawa kesemuanya serentak.

Jika anda tergolong dalam kategori pengguna seperti ini, HP Spectre Fold amat berbaloi untuk dimiliki. Ia juga boleh digunakan untuk menunjukkan kemewahan kepada rakan yang menggunakan MacBook Pro yang harganya turut boleh mencecah lebih RM20,000.

PRO Dan Kelebihan

  • Rekaan yang nipis dan ringan.
  • Skrin yang cantik tanpa kesan lipatan yang jelas dengan IMAX Enhanced.
  • Papan kekunci bluetooth yang juga boleh dicas secara nirwayar.
  • Memberi fleksibiliti untuk penggunaan di pelbagai situasi.
  • Bateri yang boleh bertahan sehingga 12.5 jam.

KONTRA Dan Kekurangan

  • Skrin tidak cukup terang dan terhad kepada 60Hz.
  • Jumlah I/O yang terhad.
  • Tidak cukup berkuasa untuk kerja-kerja suntingan berat.
  • Windows 11 yang masih tidak cukup matang untuk peranti seperti ini.
  • Harga yang sangat mahal.
Komen