Carian
HP
Temuramah Bersama Kong Koh Meng, Naib Presiden HP Greater Asia – Kenapa HP Berada Di SXSW Sydney?
October 30, 2023 Fahim Zahar

Di acara Flex with HP yang sedang berlangsung di South by South West Sydney (SXSW) dua minggu lalu, saya berkesempatan menemuramah Naib Presiden & Ketua Kategori Sistem Peribadi Greater Asia HP iaitu Kong Koh Meng. Beliau adalah antara individu yang bertanggungjawab untuk pemasaran produk-produk HP di rantau Asia termasuk Malaysia. Beberapa soalan sempat saya. tanyakan kepada beliau dan jawapannya akan saya kongsi di dalam artikel ini.


Soalan – Pertama sekali, apakah sebab utama bagi HP untuk menyertai SXSW Sydney tahun ini sebagai penaja utama Expo Teknologi & Inovasi? Kebiasaannya acara SXSW bukanlah acara teknologi.

Jawapan – South by South West (SXSW) adalah acara yang memfokuskan kepada pencipta kreatif. Tidak kira sama ada muzik, filem atau seni. Di zaman ini, ramai pencipta kreatif menjadi pencipta kandungan digital yang majoritinya karya mereka dihasilkan menggunakan teknologi seperti telefon pintar atau komputer. Jadi dengan cuba menarik perhatian pencipta-pencipta kandungan yang kreatif ini, kehadiran HP di SXSW Sydney adalah untuk menggalakkan mereka beralih ke ekosistem HP untuk menghasilkan karya mereka.

Soalan – Empat bulan lalu, IDC telah mengeluarkan laporan yang pengeluaran komputer peribadi telah menyusut sebanyak 29% pada suku pertama tahun ini. Apakah strategi HP untuk memulihkan hal ini dan merebut tempat teratas dalam pasaran global produk komputer peribadi?

Jawapan – Jika melihat kembali laporan yang IDC keluarkan, HP masih lagi antara pengeluar yang terbesar. Antara sebab kenapa penyusutan berlaku adalah permintaan yang sangat tinggi telah berlaku ketika pandemik dengan penjualan PC peringkat global meningkat sehingga 150 juta dalam tempoh yang sangat singkat. Ramai pengguna telah membeli komputer peribadi dan masing-masing secara majoriti masih berpuas hati.

Walaupun begitu, ini tidak bermakna HP terus mengalah – malah kini masih dalam proses untuk bersaing dengan pengeluar lain menjadi yang pertama di dunia. Pertama sekali adalah melancarkan produk kategori baharu di peringkat global seperti HP Spectre Fold dan desktop AIO mudah alih Envy Move. Kemudian untuk pasaran Malaysia secara spesifik, HP telah bekerjasama dengan rapat bersama pengedar untuk penawaran komputer riba yang paling berbaloi selain turut menyertai program kerajaan agar lebih ramai rakyat Malaysia mampu memiliki sekurang-kurangnya satu komputer peribadi.

Soalan – Adakah HP akan hadir dengan laptop yang dijana cip ARM bagi bersaing dengan MacBook dengan Apple Silicon? Mungkin dengan cip Snapdragon X Series yang bakal dilancarkan hujung Oktober ini?

Jawapan – Benar, ia merupakan satu cabaran di dalam dunia PC. Namun begitu HP masih memfokuskan kepada kategori produk yang orang ramai mahukan serta mendengar permintaan pengguna HP yang sedia ada. Buat masa ini HP tidak boleh mendedahkan perancangan produk baharu. Tetapi bagi bersaing dengan Apple dengan produk sedia ada, HP telah hadir dengan perisian tersendiri yang dikuasakan dengan AI seperti aplikasi yang boleh mengawal kamera web terbina pada produk sedia ada kami.

Perisian ini boleh memberikan sokongan seakan Center Stage tanpa kira perkhidmatan telesidang mana digunakan serta mampu meningkatkan kualiti panggilan video dengan mimik kamera profesional serta telah disunting oleh profesional. Kami turut ada bekerjasama dengan rakan cip kami yang tidak boleh didedahkan untuk persediaan produk baharu yang hanya akan didedahkan pada bila-bila masa sahaja.

Soalan – Kalau OMEN merupakan kategori komputer gaming premium dan Victus pula kategori mampu milik, adakah HP akan hadir dengan Spectre Fold mampu milik agar lebih ramai mampu membeli produk dalam kategori baharu ini?

Jawapan – Saya ingin jelaskan kepada semua dalam bilik ini yang HP Spectre Fold adalah produk yang mahal tetapi sangat berbaloi untuk dimiliki. Ia menggabungkan dua laptop premium + tablet premium + monitor mudah alih + desktop AIO + peranti skrin boleh lipat dalam format semua-dalam-satu. Jika anda membeli satu demi satu, harga kesemua peranti ini boleh mempunyai jumlah harga mencapai lebih RM28,000. Jadi dengan membeli Spectre Fold anda telah menerima penjimatan sekitar RM4,000.

Sudah semestinya HP akan sentiasa mendengar keluhan dan permintaan pengguna. Jika generasi pertama laptop skrin boleh-lipat ini menerima maklum balas yang positif, tidak mustahil untuk kami menawarkan versi yang lebih mampu milik pula di masa hadapan.

Soalan – Intel telah menghentikan pengeluaran produk NUC dan setakat ini hanya Asus yang bakal menggunakan nama siri ini untuk desktop mereka. Adakah HP akan menawarkan kategori produk yang sama?

Jawapan – Kenapa perlu menawarkan produk NUC yang memerlukan pengguna membeli komponen tambahan secara berasingan, jikalau kami telah pun menawarkan HP Slim Desktop, HP Elite Small Form Factor atau HP Pro Small Form Factor sebagai desktop kompak tersendiri. Semua pengguna tidak kira sama ada individu atau untuk perniagaan boleh memilih spesifikasi terbaik sebelum dibeli?

Selepas melakukan pemilihan, kami akan terus menghantar desktop bersaiz kompak dengan spesifikasi mengikut kehendak pengguna yang pasti akan bertahan selama bertahun sebelum ingin menaiktaraf kepada spesifikasi generasi seterusnya.

Soalan – Omen dan Victus adalah jenama terkenal untuk laptop gaming di bawah HP. Dengan kemunculan konsol permainan mudah alih Windows seperti ASUS ROG Ally dan Lenovo Legion Go, adakah HP akan menawarkan produk lebih kurang sama?

Jawapan – Sudah tentu kami di HP menyedari kewujudan produk ini untuk menyasarkan pengguna yang aktif di dalam kategori permainan video. Walau bagaimanapun seperti yang saya katakan tadi, HP buat masa ini memfokuskan kepada apa yang pengguna mahukan sahaja. Konsol mudah alih masih tiada dalam perancangan kami dalam masa terdekat.

Soalan – Akhir sekali, apakah barisan produk paling popular di Malaysia yang ditawarkan oleh HP dan apakah faktor-faktor utama yang mendorong penjualannya?

Jawapan – Berdasarkan pemantauan saya secara peribadi, saya mendapati ramai pengguna di Malaysia lebih menggemari komputer riba gaming dalam siri OMEN. Ini mungkin kerana harga yang kompetitif berbanding pesaing berserta dengan kualiti khidmat pelanggan yang kami sediakan. Kategori OMEN ini digemari oleh pengguna individu.

Komen