Tidak sampai setahun sejak menawarkan Find N2 Flip, Oppo kini hadir dengan kemas kini baharu untuk segmen peranti yang sama. Dikenali sebagai Find N3 Flip, ia merupakan generasi ketiga untuk peranti dengan skrin boleh lipat jenis clamshell daripada jenama ini. Pada umumnya peranti masih kelihatan sama dengan generasi sebelum ini, khususnya apabila dilihat dari aspek rekaan.

Namun fakta sebenarnya Oppo telah membuat beberapa perubahan bagi menjadikannya lebih menarik. Turut menjadi kebiasaan apabila terdapat peranti yang baru dilancarkan persoalan yang timbul pastinya mengenai berbaloikah untuk dimiliki. Kami akan cuba menjawab persoalan tersebut menerusi artikel ulasan ini.
SPESIFIKASI
Oppo Find N2 Flip | |
---|---|
Skrin | Dalam 6.8″ OLED LTPO 1080 x 2520, 120Hz, HDR10+ Luar 3.26″ AMOLED, 382 x 720 |
Pemproses | Dimensity 9200 (4nm) |
Cip | 1 x 3.05 GHz Cortex X3 3 x 2.85 GHz Cortex A715 4×1.80 GHz Cortex A510 |
Cip Grafik | Mali-G710 MC10 |
RAM | 12GB LPDDR5 |
Muatan Dalaman | 256GB UFS 3.1 |
Kamera Utama | 50MP f/1.8, (Sudut Lebar) 48MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar) 32MP f/2.4 (Telephoto) |
Kamera Swafoto | 32 Megapixel f/2.4 |
Bateri | 4,300 mAh Pengecasan berwayar 44W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM nano / eSIM / 5G |
NFC | Ya |
Bicu Audio | Tiada |
Kalis Air | IPX4 |
Sistem Imbasan | Pengimbas jari sisi |
Harga Jualan | RM4399 (12/256GB) |
Rekabentuk
Sebagai pengganti kepada generasi sebelum ini, Find N3 Flip masih menawarkan konsep reka bentuk yang sama namun lebih praktikal buat kegunaan harian. Ia sesuai buat mereka yang gemarkan sebuah peranti lebih kompak dan nipis apabila dilipat.

Lebih menariknya lagi apabila peranti turut boleh ditutup dengan rapat sepenuhnya tanpa jurang yang kelihatan diantara skrin. Hal ini disumbang oleh kelebihan teknologi engsel Flexion serba baharu yang membolehkan lebih banyak komponen dimuatkan dalam peranti.

Malahan turut telah dinaiktaraf dengan ciri penarafan kalis air IPX4 yang bermaksud peranti boleh bertahan terhadap percikan biasa namun tidak sesuai direndam di dalam air. Ia juga dibina sepenuhnya menggunakan bahan logam yang dikatakan boleh berfungsi dengan baik 1,000,000 kali lipatan.

Dalam masa sama turut menyokong kebolehan membuka skrin di pelbagai sudut mencapai 110 darjah. Tidak dinafikan pengalaman membuka dan menutup peranti terasa cukup baik tetapi seperkara yang saya perasan engsel ada mengeluarkan bunyi agak aneh sewaktu digunakan.
Kemudian kemasan peranti juga sepenuhnya nampak menawan dengan beberapa pilihan warna termasuk Mistic Pink seperti unit yang dipegang dalam artikel ini. Sejujurnya peranti memang terasa licin tanpa kerangka dan amat mudah memerangkap kotoran.

Justeru penggunaan kerangka amatlah disarankan untuk pelindungan lebih baik dan ia juga diberi secara percuma di dalam kotak pembelian. Menariknya lagi apabila turut boleh disuai padan dengan baik memandangkan warnanya adalah sama dengan tubuh.

Menerusi Find N3 Flip juga sistem tri-kamera yang digunakan disusun dengan kemas dalam bonggol kamera berbentuk bulat yang tebal. Kebarangkalian lensa tercalar meningkat dengan penggunaan rekaan sebegini. Konfigurasi kamera terdiri dengan 50MP (lebar) + 48MP (ultra lebar) + 32MP (telefoto) dan menyokong OIS terbina.

Terdapat juga penjenamaan Hasselblad yang secara jelas menunjukkan Oppo sekali lagi bekerjasama dengan syarikat berkenaan untuk kebolehan kamera pada peranti. Melengkapinya lagi adalah LED Flash berbentuk bulat yang diletakkan dibawah bonggol kamera.

Susun atur butang standard masih sama seperti pendahulunya Find N2 Flip. Di mana sisi kanan terdapat butang laras audio dan kuasa dengan pengimbas cap jari terbina. Binaan kedua-dua butang adalah teguh dan sedap ditekan bersama tindak balas yang baik. Selain itu pujian ingin saya berikan untuk imbasan cap jari dan wajah yang pantas dengan kadar tindak balas sekitar dua saat (kiraan manual).

Bergerak ke sisi kiri pula terdapatnya butang Alert Slider yang pernah dipopularkan oleh peranti OnePlus. Ia langsung tidak mengejutkan kerana kedua-dua syarikat ini telah bergabung sejak tahun 2021 lagi. Tiada apa-apa boleh ditemui di bahagian atas, seterusnya bahagian bawah pula terdapat kekisi audio, port USB-C dan talam SIM yang hanya menyokong dwi SIM bersaiz nano.

Peranti juga sebenarnya dilengkapi sistem audio stereo dengan Dolby Atmos dengan satu lagi pembesar suara terbina di bahagian gagang telinga. Ia mampu menghasilkan bunyi yang lantang tetapi tidak seimbang dengan bunyi audio pada pembesar suara bahagian bawah lebih kuat berbanding di atas. Pada kelantangan tertinggi pula audio kedengaran tidak pecah tetapi mula berkecamuk.
Skrin Dalam Dan Luar
Pada kedudukan terbuka skrin 6.8-inci yang digunakan masih sama dengan pendahulunya Find N2 Flip. Begitu juga dengan saiz sekunder yang juga dikekalkan pada kedudukan menegak dan sebesar 3.26-inci yang boleh dimanfaatkan untuk pelbagai perkara tanpa isu.

Skrin sepenuhnya daripada AMOLED yang juga menyokong 2156 x 2344 pixels untuk skrin luar dan 1060 x 2376 piksel pula pada skrin dalamnya. Kelebihan juga diberikan pada skrin utama yang menyokong kadar segar semula tinggi 120Hz berbanding 60Hz sahaja diluar.
Menang pada bahagian tersebut namun tidak bermakna tiada yang menarik pula pada skrin sekunder peranti ini. Perlu anda tahu bahawa skrin sekundernya kini telah diintegrasi dengan sokongan aplikasi pihak ketiga secara lebih meluas. Sekaligus membolehkan pelbagai aplikasi seperti Twitter (X), TikTok, Netflix, YouTube, Gmail, WhatsApp dan sebagainya boleh diakses secara terus tanpa perlu membuka skrin utama.

Nampaknya kekecewaan Effi sebelum ini juga seakan terubat apabila skrin sekunder kali ini turut boleh digunakan untuk menaip. Di mana setiap mesej atau emel yang diterima bukan sekadar boleh dibaca malah boleh dibalas terus daripada skrin yang sama menerusi paparan kekunci yang diaktifkan.

Peningkatan ini kedengaran baik kerana lebih banyak perkara boleh dimanfaatkan melaluinya. Tetapi selepas penggunaan lebih seminggu saya ingin mengungkapkan kekurangannya yang disebabkan oleh beberapa perkara. Sudah tentu agak sukar untuk menaip dalam ruang yang kecil sebegini.
Justeru menggunakannya untuk membalas teks atau emel di aplikasi pemesejan bukanlah pengalaman terbaik. Dengan resolusi skrin yang rendah pula mudah menampakkan piksel khususnya sewaktu digunakan untuk menonton video. Bagi saya juga kalau mengikut logik akal siapa agaknya yang mahu menonton video pada skrin yang kecil?

Walapun demikian kewujudannya bukanlah sepenuhnya negatif sebaliknya masih bermanfaat untuk sesuatu perkara lain seperti penggunaan peta sewaktu memandu. Pujian juga perlu saya berikan untuk persembahan Cover Screen Style yang kini memaparkan animasi haiwan comel dalam imej 3D yang menampakkannya seakan hidup dan bergerak.

Begitu juga dengan persembahan visual pada skrin utama yang keseluruhannya benar-benar cantik dengan butiran cukup jelas. Bukan itu sahaja olahan warna juga penuh bermaya dan pengalaman menatal juga terasa lancar pada tetapan skrin 120Hz. Seperkara lagi yang sudah pasti menjadi persoalan semua tentulah mengenai kesan lipatan yang sejujurnya saya katakan masih ada namun tidak jelas.
Perisian Dan Penanda Aras – MediaTek Dimensity 9200
Sistem operasi ColorOS13 berasaskan Android 13 digunakan pada peranti. Ia juga sebenarnya perisian yang sama digunakan pada Find N2 Flip bersama tampilan antaramuka amat mirip dengan Android asli. Ikon digunakan amat ringkas yang turut mudah untuk dibezakan antara setiap fungsi dan ciri yang dikategorikan.


Pemilihan warna untuk ikon pula mungkin sekadar sederhana namun sudah digunakan sejak sebelum ini. Sebagai sebuah peranti dengan skrin boleh lipat juga sudah tentulah terdapatnya ciri khusus yang diberikan. Antaranya seperti Flex Form Mode, Cover Screen Style, Mini Apps, Answer/End Call, Quick Reply dan Screen off when folded.

Tunjang utama Find N3 Flip menggunakan cip MediaTek Dimensity 9200 dengan gabungan memori 12GB RAM LPDDR5X dan storan 256GB UFS 4.0 tanpa kebolehan kad mikroSD. Namun storan tadi masih boleh ditambah secara maya sehingga 12GB menerusi ciri RAM Expenstion. Ini bermakna secara keseluruhannya peranti ini boleh menawarkan sehingga 24GB RAM.


Cip MediaTek 9200 juga bukanlah cip baharu tetapi lebih berkuasa berbanding Dimensity 9000+ yang digunakan pada Find N2 Flip sebelum ini. Bercakap secara spesifik sebenarnya ia berada dalam kelompok cip kelas mercu dengan penggunaan teknologi 4nm dan dilengkapi lapan teras. Seterusnya turut boleh menjadi pesaing kepada cip Snapdragon 8 Gen 2.
AnTuTu 3D
- Oppo Find N3 Flip – 1,015,126
- Samsung Galaxy Z Flip5 – 1,091,543
- Vivo X Fold2 – 1,559,200
Geekbench 6
- Oppo Find N2 Flip – 1,315/3,502
- Samsung Galaxy Z Flip5 – 1,850/4,068
- Vivo X Fold2 – 1854/5318
3DMark – Wild Life Extreme
- Oppo Find N3 Flip – 2,255
- Samsung Galaxy Z Flip5 – 2,319
- Vivo X Fold2 – 3727
Pengalaman keseluruhan secara umumnya memuaskan tetapi bukan yang terbaik. Peranti boleh mengendali kebanyakan tugasan harian dengan baik namun masih ada sedikit isu sela masa yang berlaku dalam sesetengah keadaan. Pun begitu penggunaan secara kasual sebenarnya tidak akan perasan mengenai isu tersebut.
Pengalaman bermain kebanyakan permua juga baik namun peranti menjadi sedikit panas selepas sesi yang panjang. Isu yang sama turut boleh dirasai dengan kadar pemanasan lebih ketara sewaktu melakukan ujian penanda aras dan mengambil banyak gambar dengan banyak. Bagaimanapun ia tidaklah melampau sehingga mengakibatkan peranti gagal berfungsi.

Perisian pula bagus dengan isu bloatware yang berkurang dan tiada masalah iklan. Oppo juga menjanjikan kemas kini sehingga empat versi Android serta lima tahun tampalan sekuriti pada peranti ini yang memberi kelebihan untuk jangka masa panjang.
Kamera Dan Kualiti Gambar
Sistem tri-kamera yang digunakan terdiri dengan sensor 50MP IMX890 yang menyokong OIS terbina. Ini digabungkan juga dengan sensor ultra sudut lebar 48MP dan telefoto 32MP yang menyokong zum optikal sehingga 2X dan hibrid 5X. Tiada zum periskop disertakan dan had zum digital pula boleh mencapai 20X. Namun harus diingatkan zum hanya sehingga 10X apabila melakukan rakaman video. Kamera hadapan pula sebesar 32MP f/2.0 dengan fokus kekal digunakan.

Pilihan tangkapan gambar pula boleh diambil pada nisbah 1:1, 4:3, 16:9 dan penuh. Kemudian diikuti dengan pelbagai mod kamera terbina seperti Pro, Video, Photo, Portrait dan More. Kamera juga mudah digunakan dengan sistem kecerdasan terbina yang secara automatik boleh memilih tetapan sesuai mengikut situasi. Mod makro juga akan dipilih secara automatik apabila objek dikesan hampir dengan lensa. Bagi yang memerlukan aplikasi kamera lebih professional, Film dan Xpan Mode turut boleh digunakan dengan kawalan lebih terperinci.

Kemampuan video pula boleh dirakam pada tetapan maksimum 4K 30FPS dengan HDR dengan hanya rakaman 1080P sahaja boleh merakam pada kadar 60FPS. Sistem penstabilan terbina juga dimuatkan dengan duan pilihan tangkapan sama ada 0.6X atau 1X. Pada masa sama penggunaan sistem penstabilan ini juga hanya terhad pada rakaman 1080P 60FPS sahaja. Terdapat juga pintasan kecil untuk Dual Preview yang boleh memaparkan pratonon pada skrin luar untuk tangkapan gambar lebih mudah.








Kamera utama melakukan kerja dengan baik dalam kebanyakan senario kerana mampu menghasilkan kualiti gambar yang memuaskan. Melaluinya imej yang diambil nampak tajam dan terang seterusnya warna pula kali ini lebih ke arah semula jadi tanpa dedahan berlebihan. Perincian pada imej juga dijaga dengan baik bersama hingar yang minimum.
Berbalik pada soal warna tadi apabila dilihat secara menyeluruh ia sedikit berbeza dengan generasi sebelum ini yang nampak lebih hidup. Saya boleh membuat andaian bahawa mungkin disebabkan oleh tiada sokongan cip ISP mereka sendiri iaitu MariSilicon X. Sebagaimana yang kita sedia tahu kehebatannya mampu meningkatkan kualiti gambar dan video khususnya dalam keadaan malap.


Kualiti gambar ultra-lebar juga memuaskan namun perubahan warna mula berlaku yang lebih kebiru-biruan berbanding sensor lebar. Seterusnya Night Mode terbina pula membolehkan gambar waktu malam kelihatan lebih menyerlah. Tiada masalah hingar yang ketara dapat dilihat dan objek kelihatan cukup terang.


Pun begitu hasil yang memuaskan ini hanya menerusi kamera utama. Keadaan bagaimanapun mula berubah apabila imej malam diambil daripada lensa ultra-sudut lebar yang jelas lebih lembut dengan keperincian imej mula hilang. Kualiti zum optikal juga mengecewakan apabila digunakan pada waktu malam.



Kebolehan zum gambar di antara 1X hingga 5X boleh sahaja diambil dengan mudah menerusi ikon disediakan. Gambar yang senonoh bagaimanapun hanyalah sehingga 10X zum, kemudian tangkapan melebihi daripada itu mula menampakkan hasil yang kabur dan pecah.

Ketahanan Bateri
Bateri sebesar 4,300mAh digunakan adalah kapasiti yang sama pada Find N2 Flip. Secara purata peranti mampu bertahan sehari suntuk pada penggunaan biasa bersama skrin 120Hz yang diaktifkan sepanjang masa. Ia juga boleh bertahan mencapai 9 jam lamanya untuk penggunaan yang sederhana, kemudian sedikit menjunam apabila digunakan dengan lebih kerap.

Untuk pengecasan semula, peranti menyokong sistem pengecasan pantas 44W tanpa kebolehan mengecas secara nirwayar dan kepala pengecas disediakan sekali di dalam kotak bersama kabel USB-C berwarna putih. Peranti dapat dicas semula dalam masa sekitar satu jam.
Peranti Pesaing
Oppo Find N3 Flip | Samsung Galaxy Z Flip5 | Vivo X Fold 2 |
Luar -3.26″ AMOLED, 60Hz Dalam – 6.8″ OLED LTPO 1080 x 2520, 120Hz, HDR10+ | Luar – 6.2″ Dynamic AMOLED 2X, 120Hz Dalam – 7.6″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz, HDR10+ | Luar – 6.53″ LTPO OLED, 120Hz Dalam – 8.03″ LTPO OLED, 1290Hz, Dolby Vision |
Dimensity 9200 (4 nm) 1 x 3.05 GHz Cortex X3 3 x 2.85 GHz Cortex A715 4×1.80 GHz Cortex A510 | Snapdragon 8 Gen 2 (4nm) 1 X 3.2 GHz Cortex X3 4 X 2.8 GHz Cortex A715 3 X 2.0 GHz Cortex 510 | Snapdragon 8 Gen 2 (4nm) 1 X 3.2 GHz Cortex X3 4 X 2.8 GHz Cortex A715 3 X 2.0 GHz Cortex 510 |
Immortalis-G715 MC11 | Adreno 740 | Adreno 740 |
12 GB LPDRR5 | 8 GB LPDRR5 | 12 GB LPDRR5 |
256 GB UFS 3.1 | 256/512GB UFS 3.1 | 512 GB UFS 3.1 |
Kamera Utama 50 MP, f/1.8, Lebar, OIS 32 MP, f/2.0, Telephoto, 2x optical zoom, PDAF 48 MP, f/2.2, Ultra Lebar Lensa Hasselblad | Kamera Utama 12 MP, f/1.8, (wide), OIS 12 MP, f/2.2, (ultrawide) | Kamera Utama 50MP, f/1.8, OIS Sudut Lebar 12MP, f/2.0 Telefoto, 2X Zum Optikal 12MP, f/2.0 Ultra Sudut Lebar Lensa Zeiss |
Kamera Hadapan 32 MP, f/2.4 | Kamera Hadapan 10-MP f/2.2 4-MP f/1.8 (UDC) | Kamera Hadapan 16-MP f/2.6 16-MP f/2.6 |
IPX4 | IPX8 | Tidak kalis air |
Tiada bicu audio | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
4300 mAh (Berwayar 44W) | 4400 mAh (Berwayar 25W) | 4800 mAh (Berwayar 120W) |
RM 4399 (12/256GB) | RM 4,499 (8/256GB) RM 4,999 (12/512GB) | RM 6451* (12/512GB) *= Mata wang China |
DALAM KOTAK
Berikut ialah apa yang disertakan dalam kotak.
- 1x Oppo Find N3 Flip.
- 1x Kerangka dengan tekstur seakan getah.
- 1x Pengecas 67W.
- 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C.
- 1x Manual.
- 1x Pin SIM.
Kesimpulan
Oppo sekali lagi mengambil pendekatan berbeza yang menarik pada peranti kali ini. Antaranya seperti skrin menegak yang masih dikekalkan dengan kebolehan lebih berguna menerusi pengaoptimasian dengan lebih banyak aplikasi pihak ketiga. Skrin dengan kesan lipatan minima bersama tubuh kompak yang boleh ditutup rapat menjadikannya tampak kemas. Engsel juga kini dilindungi ciri IPX4 yang sekurangnya tahan percikan tetapi tidak sesuai direndam. Sensor telefoto disertakan turut menjadi nilai tambah menarik pada peranti.
Pro
- Perlindungan IPX4.
- Prestasi memuaskan.
- Rekaan lebih padat dan selesa di tangan.
- Kualiti gambar yang baik dan lebih terang.
Kontra
- Lengah masa minima.
- Engsel mengeluarkan bunyi aneh.
- Ketahanan bateri tidak konsisten.
