Antara kerisauan apabila menghantar telefon untuk dibaiki ialah data peribadi diambil tanpa kebenaran. Di Apple data pengguna akan dipadam dahulu sebelum peranti dibaiki. Pada Samsung pula Maintenance Mode diperkenalkan tahun ini yang mengunci data peribadi daripada diakses. Terkini Google dilihat sedang membangunkan Repair Mode untuk Android dengan ciri ini ditemukan dalam kod AOSP oleh Mishaal Rahman.
Repair Mode akan beroperasi sama seperti Maintenance Mode. Apabila diaktifkan, juruteknik yang membaiki telefon Android akan melihat antaramuka seperti peranti baru sahaja ditetapkan semula. Data-data peribadi pengguna langsung tidak boleh diakses oleh juruteknik.
Pembangunan mod ini masih lagi sedang dilakukan dengan ujian hanya dilakukan pada peranti Pixel sahaja setakat ini. Dengan ia disediakan secara terbina dalam Android kelak, kesemua pengeluar boleh menawarkan Repair Mode mereka yang tersendiri sekaligus meningkatkan keyakinan pelanggan mengenai keselamatan data peribadi mereka.