Disamping Surface Laptop Go 3, Microsoft Malaysia kini turut mengumumkan penawaran satu lagi produk baharu untuk pasaran tempatan, iaitu Surface Laptop Studio 2. Ia hadir dengan penawaran premium, dan ditujukan untuk tugasan berkuasa tinggi melibatkan multimedia, selain penggunaan produktiviti yang lain.
Surface Laptop Studio 2 hadir dengan skrin 14.4-inci PixelSense Flow yang turut menyokong input secara sentuhan, dilengkapi kadar segar semula 120Hz, dan dikuasakan cip Intel Core i7 Gen-13. Komputer riba dengan rekaan unik ini turut hadir dengan kad grafik GeForce RTX 4050.
Kuasa pemprosesan tinggi ini turut membawa kepada sokongan grafik yang baik, selain penggunaan kecerdasan buatan pada prestasi lebih tinggi.
Surface Laptop Studio 2 ini turut menyertakan masa penggunaan bateri sehingga 18 jam, selain menawarkan sokongan storan mencapai 1TB.
Uniknya pada rekaan komputer riba ini yang boleh membawa ia ke tiga mod berbeza. Pengguna boleh menggunakan ia dalam mod komputer riba biasa, atau melipat dan menggunakannya untuk melakar dalam bentuk mod tablet. Atau akhir sekali mod ketiga adalah menarik skrin ke hadapan untuk anda berinteraksi dalam panggilan video atau menonton kandungan melaluinya.
Di Malaysia, Surface Laptop Studio 2 dengan memori 16GB RAM dan storan 512GB SSD ditawarkan pada harga RM12,199. Model yang menyertakan 32GB RAM dan 1TB storan SSD ditawarkan pada harga RM14,399. Ia boleh dipra-tempah bermula hari ini, dan akan ditawarkan di pasaran bermula 9 November 2023.