Carian
OnePlus Open Dilancarkan Dengan Snapdragon 8 Gen 2 Dan Kamera Hasselblad
October 19, 2023 Effi Saharudin

OnePlus Open dilancarkan sebentar tadi dengan ia sebenarnya adalah Oppo Find N3 yang sekadar dijenamakan semula sahaja. Oleh itu ia dilengkapi skrin luar 6.3″ AMOLED LTPO 120Hz dan skrin dalam boleh-lipat 7.8″ AMOLED LTPO 120Hz. Ini dipadankan pula kepada pemproses Snapragon 8 Gen 2, memori 16GB RAM LPDDR5X, storan 512GB UFS 4.0 dan bateri 4800 mAh yang menyokong pengecasan pantas 67W. Hanya pengecasan berwayar menerusi USB-C disokong.

Kamera utama di belakang adalah gabungan lensa sudut lebar 48MP dengan OIS, ultra sudut lebar 48MP dan telefoto 64MP dengan OIS. Zum optikal boleh dilakukan sehingga 3x, nirhilang sehingga 6x dan zum digital sehingga 120x. Di skrin luar pula terdapat kamera swafoto 32MP dan di bahagian dalam pula kamera swafoto adalah sebesar 20MP. Kamera di belakang menyokong sistem warna Hasselblad. Kerana saiz sensor yang besar, ketiga-tiga tri-kamera utama diletakkan dalam sebuah bonggol kamera yang amat besar. Satu-satunya perbezaan dengan Find N3 ialah OnePlus Open melepasi piawaian kalis air IPX4 yang tiada pada peranti Oppo.

Peranti ini turut menyokong sistem HDR Dolby Vision dan audio Dolby Atmos. Terdapat sebuah butang lungsur untuk membisukan, memilih mod deringan atau mod getaran pada peranti. Pengimbas cap pula terbina pada butang kuasa. Sistem operasi OxygenOS 13 berasaskan Android 13 masih digunakan. OnePlus menjanjikan sokongan empat versi Android dan lima tahun tampalan sekuriti untuk Open.

Peranti ditawarkan dalam dua warna iaitu Emerald Dusk dan Voyager Black sementara harga jualannya pula ialah Rupee 139,999 (~RM 7989) sebuah yang setanding dengan Oppo Find N3 yang dijual pada harga RM7999 di Malaysia.

Komen