ASUS kini mengumumkan ketersediaan rasmi untuk Chromebook CR11 Flip untuk pasaran Malaysia. Ia dipasarkan sebagai Chromebook mampu milik yang sesuai untuk kegunaan harian khususnya pembelajaran. Bagi yang berminat ia boleh dibeli pada harga bermula RM1,789 (4/32GB) dan RM2,099 (8/64GB) menerusi pengedar sah ASUS di seluruh Malaysia.
ASUS Chromebook CR11 Flip dilengkapi skrin sesentuh LCD 11.6-inci dengan resolusi HD dan kecerahan puncak 250nits. Skrin peranti ini turut boleh diputarkan sehingga 360 darjah, sekaligus turut boleh digunakan sebagai tablet. Terdapat juga sokongan stylus untuk pengalaman lebih baik.
Seterusnya CPU Intel Processor 4-core N100 dan GPU Intel UHD Graphics digunakan sebagai tunjang utama. Memori pula sehingga 8 GB LPDDR, storan sehingga 64 GB eMMC dan bateri 50Wh dengan pengecasan 45W. Pilihan I/O terdiri dengan 2 x USB 3.2 Gen 1 Type-C, 2 x USB 3.2 Gen 1 Type-A, 1 x bicu audio 3.5mm, 1 x pembaca kad microSD dan 1 x Kensington Lock.