AMD Threadripper Kembali Dengan Penawaran Threadripper 7000 Dan Threadripper Pro 7000
Nazrin
Siri CPU AMD Threadripper diperkenalkan oleh AMD sebagai penawaran CPU desktop untuk komputer kelas HEDT (High End Desktop) yang secara lazimnya dimanfaatkan untuk tugasan-tugasan yang memerlukan kuasa pemprosesan yang tinggi, termasuklah gaming pada resolusi dan tetapan tinggi, ataupun untuk tugasan lebih serius seperti mengedit video beresolusi tinggi, mengolah objek 3D, pelbagai jenis pengiraan dan sebagainya.

Setelah menghilang sejak 2020, AMD nampaknya telah memperkenalkan siri cip pemprosesan AMD Ryzen Threadripper 7000 dan Ryzen Threadripper PRO untuk mereka yang memerlukan kuasa pemprosesan yang hampir tidak masuk akal, dan mempunyai wang untuk membelinya.

Sama seperti siri CPU AMD Ryzen 7000, siri Threadripper 7000 dibina menggunakan teknologi Zen 4 kini tampil dengan tiga model berkuasa, termasuklah AMD Ryzen Threadripper 7980X dengan 64 teras dan 128 bebenang kuasa, AMD Ryzen Threadripper 7970X dengan 32 teras dan 64 bebenang kuasa dan AMD Ryzen Threadripper 7960X dengan 24 teras dan 48 bebenang kuasa dan masing-masing dengan kelajuan asas 3.2GHz, 4.0GHz dan 4.2 GHz dengan kelajuan Boost Clock sehingga 5.3GHz.

Dari segi sokongan memori, seperti biasa AMD Ryzen Threadripper ini hadir dengan sokongan memori 4-saluran dan boleh menampung sebanyak 1TB memori DDR5 dengan kelajuan 5200MT/s. Siri CPU ini juga mempunyai jumlah cache sehingga 320MB yang membolehkan lebih banyak fail-fail yang sering digunakan untuk diakses pada kadar yang lebih cepat.
Dalam pada itu, ia juga mempunyai 48 lorong PCIe Gen5 dengan jumlah 88 lorong PCIe secara keseluruhan yang membolehkan pengguna untuk bukan sahaja menggunakan kad grafik berkuasa, tetapi juga memadankan aksesori-aksesori tambahan seperti pembaca storan SSD PCIe Gen5 yang mencukupi untuk digerakkan pada kelajuan yang sepatutnya.

Jika anda memerlukan sebuah CPU kelas workstation yang akan dimanfaatkan untuk tugasan-tugasan industri, AMD just menawarkan siri CPU AMD Ryzen Threadripper PRO yang mempunyai jumlah teras dan bebenang kuasa yang lebih banyak lagi, termasuklah lapan saluran memori DDR5 yang mampu menampung sehingga 2TB memori dan juga sokongan untuk sehingga 128 lorong PCIe Gen5.

Dari segi papan induk pula, AMD juga telah memperlihatkan dua siri papan induk, AMD TRX50 untuk CPU Threadripper dan WRX90 yang menggunakan soket sTR5. AMD juga mengatakan bahawa CPU Threadripper Pro boleh digunakan pada papan induk TRX50, tetapi CPU Threadripper biasa tidak boleh digunakan pada papan induk WRX90.

Kedua-dua siri CPU AMD Ryzen Threadripper dan Ryzen Threadripper Pro juga sudahpun mula ditawarkan di beberapa pasaran terpilih melalui pembekal komponen komputer, dan akan diperkenalkan juga melalui syarikat-syarikat pembuat komputer seperti Dell, HP dan Lenovo.
[sumber]AMD[/sumber]