Tular pagi ini gambar pembinaan plaza tol di jalan menaiki Genting Highlands menerusi Gohtong Jaya. Sungguhpun pihak Genting belum mengeluarkan kenyataan rasmi, laporan Sin Chew Daily mengatakan pembayaran tol hanya akan diambil untuk kenderaan dalam perjalanan naik ke Genting Highlands dan tiada caj akan dikenakan untuk perjalanan turun.
Sejak dibuka pada tahun 1965, ini kali pertama bayaran tol akan diambil untuk pergi ke pusat peranginan dengan hotel yang memegang rekod terbesar di dunia. Mengapa hanya sekarang kutipan diambil juga masih misteri kerana selama ini kos penyelenggaraan jalan raya boleh ditanggung sendiri oleh pihak Genting.
Terdapat ura-ura kutipan akan diambil bermula Jun 2024. Pihak Genting masih belum mengesahkan laporan ini ketika artikel ditulis. Untuk makluman, jalan raya berkenaan adalah jalan raya peribadi, maka sebarang keputusan adalah bukan oleh pihak kerajaan.