Carian
HP
Ulasan HP Pavilion Aero 13 – Kecil-Kecil Cili Padi
October 20, 2023 Effi Saharudin

Selepas lebih sedekad dalam kerjaya penulisan, saya mula meminati komputer riba yang bersaiz kompak. Ia membolehkan saya menaip di dalam kereta, bas, kereta api dan kapal terbang tanpa memerlukan ruang yang besar. Ini kerana berita perlu ditulis dalam pelbagai situasi tanpa amaran. Sejak lima tahun kebelakangan ini saya menggunakan MacBook Air.

Tetapi ramai yang bertanya apakah alternatif yang boleh dibeli dalam versi Windows 11? Ini membuatkan saya teruja untuk menguji HP Pavilion Aero 13 kerana saiznya yang sama dengan MacBook Air. Adakah ia alternatif yang baik? Ini ulasan penuh saya.

HP Pavillion Aero 13
Skrin13.3″ WUXGA (1920×1200) IPS LCD, 400nits, 60Hz
CPUAMD Ryzen 5 7535U
GPUAMD Radeon
RAM16 GB DDR4-3200 MHz
Muatan Dalaman512 GB PCIe NVMe M.2 SSD 
Kamera Utama720P HP Wide Vision
I/O1x USB-C 10Gbps
2x USB-A 3.0
1x HDMI 2.1
Bateri43Whr (3 Sel)
Pengecasan 45W
SIM/TelefoniTiada
WiFi802.11a/b/g/n/ac/6
Bicu AudioYa
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanImbasan jari
Harga JualanRM3699

SKRIN

Skrin besar 13.3″ IPS LCD menyokong resolusi WUXGA, 60Hz tetapi tanpa sokongan sentuhan jari. Panel mempunyai keterangan sehingga 400 nits yang serasi digunakan di dalam kawasan tertutup. Kerana tahap keterangan skrin yang tidak begitu tinggi, saya mengalami sedikit kesukaran menggunakannya di luar. Beberapa kali ketika mengulas saya perlu mencari kedai kopi berdekatan bagi mencari ruang kerja yang lebih redup.

Kandungan yang dipaparkan adalah memuaskan dengan warna yang cantik. Menonton siri TV atau filem menggunakan skrin Aero 13 adalah memuaskan cuma dengan hanya satu isu. Skrin 16:10 yang digunakan mempunyai lapisan anti silau, walaupun saya tahu kenapa lapisan ini diberikan tetapi ia kerap kali membuatkan skrin nampak malap jika tidak berada pada satah yang betul dengan mata.

Tiada isu dengan skrin 16:10 kerana pada hemat saya ia lebih baik daripada 16:9. Terdapat palang hitam di atas dan bawah apabila menonton YouTube dan Netflix. Secara peribadi kewujudan palang ini bukan isu bagi saya kerana membesar di dekad 80an dengan TV yang semuanya 4:3.

REKABENTUK

Rekaan tubuh nampak berjaya walaupun minimalis. Tubuh diperbuat daripada logam aluminium dan magnesium yang membuatkan Aero 13 mempunyai berat bawah 1 kilogram. Bagi yang mencari komputer riba ringan, Aero 13 memenuhi keperluan anda. Semasa mengulas saya kerap terlupa Aero 13 ada dalam beg sandang kerana tidak terasa beban di bahu.

Tubuh Aero 13 terasa sedikit rompong dan tidak begitu teguh. Boleh dilentur sedikit jika tekanan diberikan. Tetapi ini ialah lazim pada komputer dengan tubuh aloi magnesium. Untuk ringan, kekerasan kasis dikorbankan.

Di bahagian penutup pula diletakkan logo HP yang juga minimalis. Apabila dipadankan dengan warna kuning champagne, Aero 13 nampak sangat berjaya dan profesional. Apabila dipusingkan di bawah terdapat lubang pengudaraan dan dua pelapik getah yang panjang. Pelapik memberikan geseran yang tinggi maka tak perlu risau Aero 13 mudah tertolak jatuh daripada permukaan meja. Dua lubang untuk speaker Bang & Olufsen turut terletak di bahagian bawah.

Engsel adalah dari jenis memanjang yang tidak begitu ketat namun cukup teguh mengelakkan skrin bergoyang apabila menaip. Apabila skrin dibuka sepenuhnya, ia akan menjungkitkan tubuh ke atas sedikit bagi memberikan keselesaan pada pergelangan tangan dan membolehkan udara disedut masuk oleh kipas penyejuk.

Walaupun tubuh Aero 13 nipis, HP masih mampu menyertakan 2x USB-A 3.0, 1x USB-C, bicu audio dan satu HDMI 2.1 bersaiz penuh. Dua port USB-A mempunyai engsel yang mendedahkan lubang yang lebih besar. Port USB-C turut merangkap sebagai port pengecasan dan output DisplayPort 1.4. HP tidak menjadikan tubuh nipis sebagai alasan untuk tidak memberikan port-port yang diperlukan oleh pengguna biasa.

Pengimbas cap jari diletakkan dalam sebuah kotak kecil terbina pada bahagian meletakkan tapak tangan kanan. Ianya pantas tetapi alangkah baiknya jika terbina terus pada butang kuasa. Sementara itu kamera web 720P juga disertakan sekali. Agak canggung melihat kamera web 720P masih lagi digunakan sedangkan rata-rata pengeluar lain sudah berpindah ke 1080P. Seperti dijangka kualiti gambar dan video adalah kurang memuaskan.

PRESTASI Dan PENGGUNAAN

Model yang diulas dilengkapi CPU AMD Ryzen 5 7535U, dipadankan dengan memori 16 GB DDR4  dan storan 512 GB PCIe NVMe M.2 SSD. Di Malaysia hanya konfigurasi ini ditawarkan bersama dengan sistem operasi Windows 11 Home.

Dalam penggunaan selama dua minggu saya merasakan ia sebuah komputer yang beroperasi dengan cukup baik. Boleh dihidupkan dengan pantas dan membuka pelbagai perisian dengan pantas. Saiz RAM 16GB adalah cukup besar dan jika banyak perisian dibuka sekalipun kami tidak mengalami isu ia tersekat-sekat.

Storan 512GB SSD adalah agak besar untuk pengguna biasa tetapi alangkah lebih baik jika storan 1TB diberikan terus supaya komputer boleh digunakan untuk tempoh yang lebih lama. Tiada isu pemanasan yang kronik kami alami sepanjang tempoh ulasan. Ia hanya menjadi sedikit suam jika memproses video pendek menggunakan CapCut atau kami mencuba permainan video.

Storan yang digunakan mencapai kelajuan membaca 5.079 GBps dan menulis pula sehingga 3.917 GBps. Ini bukanlah SSD yang terpantas pernah saya ulas tetapi masih lebih baik berbanding SSD MacBook Air M2 256GB yang hanya sekitar 3GBps.

Dalam ujian PCMark 10, Night Raid Fire Strike dan Time Spy, markah yang dicatatkan adalah tinggi sedikit berbanding purata komputer riba pejabat dalam kelas yang sama. Malahan prestasinya lebih baik jika dibandingkan dengan Lenovo Yoga 7i 14″ Gen 8 dengan Intel Core i7-1360P yang saya ulas pada Mei yang lalu. Aero 13 ialah komputer riba yang kompak tetapi prestasinya menjalankan aplikasi produktiviti adalah cukup gempak.

Walaupun tidak dilengkapi GPU diskrit, GPU terkini Radeon pada Ryzen 5 7535U masih boleh memainkan permainan klasik seperti Commandos, Command and Conquer Tiberium Wars dan banyak lagi. Saya tak sempat pula menguji permainan lebih moden kerana Aero 13 tidak dipasarkan sebagai komputer gaming.

PAPAN KEKUNCI

Papan kekunci adalah dari jenis 60% dan berbentuk empat segi. Terdapat satu barisan untuk butang home, page up, page down dan end. Ini menyebabkan papan kekunci Aero 13 terasa sempit walaupun saya sudah biasa menggunakan komputer riba 13″. Saya mengambil masa beberapa hari untuk membiasakan jari dengan kekunci yang sempit ini.

Proses menaip tidak begitu selesa di peringkat awal tetapi selepas sudah membiasakan jari, butang kekunci Aero 13 adalah cukup baik dengan ia mempunyai pergerakan sehingga 1.5mm. Proses menaip dapat dilakukan dengan pantas. Sistem lampu terbina berwarna putih disertakan dengan keterangan tidak boleh diubah. Kerana kekunci berwarna perak dan lampu berwarna putih, pada situasi tertentu saya mahukan cahaya yang lebih terang. Tetapi seperti anda boleh lihat di bawah. cahaya malap membuatkan sesetengah kekunci tidak nampak begitu jelas.

PAD SESENTUH

Pad sesentuh adalah agak kecil tetapi mengesan sentuhan dengan baik. Ia tidak begitu lembut dan juga tidak begitu keras. Ia menggunakan perisian Windows Precision Driver oleh itu pelbagai gestur Windows 11 disokong dengan sempurna. Ia turut boleh mengesan telapak tangan bagi mengelakkan berlakunya sentuhan yang tidak diingini. Sekiranya pad yang lebih besar ditawarkan, saya rasakan penggunaan Vero 13 sebagai sebuah peranti produktiviti sebenar dapat dicapai. Tetapi kerana ianya kecil proses menyunting dalam Photoshop menjadi sedikit sukar.

AUDIO

Pembesar suara stereo Bang & Olufsen diletakkan di bahagian bawah dengan sistem audio HP Audio Boost. Kerana audio menembak ke bawah, kualiti audio tidak begitu cemerlang khususnya jika ia diletakkan di atas riba. Bunyi diserap paha sebelum sampai ke telinga. Pada tahap kelantangan tertinggi saya rasakan ia tidak cukup lantang. Untuk pengalaman audio lebih memuaskan saya cadangkan fon telinga nirwayar atau berwayar digunakan kerana terdapat bicu audio 3.5mm.

Bateri

Saiz bateri Vero 13 adalah hanya 43 Whr yang sangatlah kecil. Sebagai perbandingan MacBook Air M2 dengan saiz sama dilengkapi bateri 52.6 Whr. Vero 13 diiklankan dengan kemampuan boleh menonton video hampir 13 jam yang saya rasakan terlalu konservatif. Sepanjang tempoh ulasan saya rasakan purata hayat bateri komputer riba ini hanyalah sekitar 7 jam. Pengecasan semula bateri adalah sekitar 2 jam menggunakan pengecas 45W USB-C PD.

KESIMPULAN

HP Pavilion Aero 13 memenuhi banyak kriteria yang saya cari pada sebuah komputer kerja. Ianya kompak, ringan, mempunyai papan kekunci yang baik, prestasi memuaskan dan dilengkapi pelbagai I/O yang diperlukan sehingga dongel tidak perlu dibeli. Pada komputer riba dengan saiz yang sama, secara lazimnya hanya port USB-C sahaja diberikan. Aero 13 hadir dengan 2x USB-A 3.0 dan 1x HDMI 2.1 bersaiz penuh. Rekaannya yang nampak bergaya juga membuatkan ia menarik perhatian serta memberikan imej profesional.

Kekurangan ialah kamera masih sekadar 720P, sistem audio yang sekadar ala kadar dan hayat bateri yang sedikit menyedihkan.

Tetapi dengan harga jualan hanya RM3699 sekarang, ia adalah pakej yang sangat berbaloi untuk apa yang ditawarkan. Bagi golongan pelajar atau mereka yang baru mendapat pekerjaan pertama, HP Pavillion Aero 13 menawarkan pakej cukup menarik di pasaran sekarang.

PRO dan Kelebihan
  • Skrin 16:10 yang memuaskan dengan lapisan anti silau.
  • Spesifikasi CPU, RAM dan storan yang cukup berkuasa untuk komputer kerja.
  • Ringan dan bersaiz kompak.
  • Pilihan I/O yang baik pada sebuah komputer riba kompak.
KONTRA dan Kekurangan
  • Pad sesentuh agak kecil
  • Hayat bateri sederhana.
  • Lampu papan kekunci kurang terang.
Komen