Lihat di jalan raya dan anda dapat lihat rekaan kereta elektrik hampir semuanya serupa. Bersaiz besar, beroda empat dan rekaan aerodinamik. Tetapi Shane ialah sebuah kereta elektrik baharu yang cuba keluar daripada acuan ini dengan ia dilengkapi hanya dua tayar bersaiz gergasi. Kereta elektrik ini direka oleh Shane Chen yang sebelum ini menghasilkan papan apung dua roda.

Walaupun hanya beroda dua, kabin Shane boleh menempatkan lima orang penumpang. Untuk belok, salah satu tayar akan bergerak lebih pantas. Menurut pereka Shane, sepanjang masa kenderaan ini akan mengimbang berat penumpang seperti sebuah papan apung.

Untuk masuk ke dalam kabin Shane, bahagian hadapan terbuka seperti kepah. Sistem swapandu digunakan sepenuhnya maka ia tidak memerlukan pemandu atau instrumen kawalan seperti kereta elektrik yang lain.

Kelebihan rekaan Shane menurut pereka pula ialah ia boleh berputar 360 darjah secara setempat. Proses parkir misalnya adalah lebih pantas dengan konfigurasi dua roda. Shane Chen kini sedang mencari rakan industri yang bersedia untuk merealisasikan rekaan beliau.