Carian
AMD
AMD Radeon 7900M Ialah Cip Grafik Gaming Paling Berkuasa Mereka Setakat Ini
October 20, 2023 Nazrin

Disamping pelancaran cip pemprosesan komputer desktop HEDT AMD Ryzen Threadripper dan Threadripper Pro mereka, AMD juga telah memperlihatkan penawaran grafik terbaru mereka, iaitu AMD Radeon RX 7900M yang juga dikatakan adalah kad grafik untuk komputer riba paling berkuasa mereka setakat ini.

Fokus pembangunan AMD Radeon RX 7900M ini dilihat untuk menggerakkan komputer riba gaming dengan prestasi terbaik pada resolusi 1440p, yang kini dilihat sebagai resolusi pilihan untuk gaming pada sebuah komputer riba.

Cip grafik ini dibangunkan menggunakan teknologi RDNA 3 sama seperti yang digunakan pada kad grafik AMD Radeon RX 7000 sebelum ini dan menariknya juga menggunakan teknologi “chiplet” seperti apa yang digunakan pada CPU AMD Ryzen 3000 dan keatas.

Dari segi spesifikasi, cip grafik Radeon RX 7900M ini hadir dengan 72 Compute Unit dan 16GB memori GDDR6, dimana cip grafik sebelumnya, Radeon RX 7600M XT hadir dengan 32 Compute Unit dan 8GB memori GDDR6. Tetapi jika cip grafik sebelum ini memakan 128W kuasa, cip yang terbaru ini pula dilihat mampu meneguk 180W pada kapasiti maksimanya, yang juga jauh lebih tinggi berbanding pencabar kad grafik ini, NVIDIA GeForce RTX 4080 untuk komputer riba yang memerlukan 110W sahaja.

Cip grafik ini, seperti semua penawaran grafik RDNA 3 yang lain juga hadir dengan sokongan teknologi grafik terbaru AMD seperti FidelityFX Super Resolution 3 yang dan menurut AMD, penggunaan teknologi ini pada permainan seperti Forspoken, pada resolusi 1440p dan tetapan tinggi membolehkannya digerakkan pada kadar segar semula 201FPS.

Untuk permainan seperti Starfield pula, menggunakan teknologi FSR 2 dengan tetapan Ultra pada resolusi yang sama dan mendapati ia dapat digerakkan dengan kadar segar semula 62FPS.

Ia dijangka bahawa komputer riba yang menggunakan cip grafik AMD Radeon RX 7900M ini akan diperkenalkan sekitar penghujung tahun ini.

Komen