Samsung berusaha keras untuk menawarkan aksesori audio yang mampu memberikan persaingan kepada AirPods tetapi pada harga yang lebih mampu milik. Dengan peranti mercu serta pertengahan mereka tidak lagi “dibelenggu” dengan bicu audio 3.5mm, siri Galaxy Buds telah dilancarkan pada pelbagai tanda harga.
Samsung Galaxy Buds FE ialah model terkini yang memasuki pasaran Malaysia. Ia mewujudkan dilema Buds mana yang paling berbaloi dimiliki kerana pada waktu terdapat pilihan Buds Live, Buds Pro, Buds2 dan Buds2 di pasaran tempatan. Apa yang boleh saya katakan di awal ulasan ini ialah Buds FE ialah yang paling mampu milik tetapi ia tidak mengecewakan.
SPESIFIKASI
Samsung Galaxy Buds FE | |
---|---|
Jenis | TWS dalam telinga |
Pemandu | Dua pemandu audio |
Mikrofon | 6 mikrofon |
Bateri | 8.5 Jam/30 jam dengan pod tanpa ANC 6 Jam/21 jam dengan pod dengan ANC |
Port pengecas | USB-C |
Pengecasan nirwayar | Tiada |
CODEC | SSC (Samsung Seamless Codec) HiFi,AAC,SBC |
Sistem operasi disokong | Semua |
Sokongan pembantu maya | Ya/Bixby |
Pad sesentuh | Ya 2X |
Kemampuan kalis air | IPX2 |
Bluetooth | 5.2 |
Audio Offline | Tiada |
Pengimbas nadi | Tiada |
Harga Jualan | RM 399 |
REKAAN
Buds FE ialah TWS yang paling mampu milik di antara siri Buds setakat ini pada harga RM399 berbanding Buds2 (RM499) atau Buds2 Pro (RM899). Walaupun menggunakan nama Buds, rekaan Buds FE adalah berbeza kerana lebih mirip dengan siri Galaxy Buds tahun 2019. Ia mempunyai “sayap” kecik pada tubuh yang diselitkan pada telinga dan pad sesentuh pada bahagian sisi yang rata. Pada Buds2 dan Buds2 Pro, tubuh lebih bulat dan licin digunakan.
Dari segi keselesaan saya boleh katakan Buds FE tidak sebaik Buds2. Sayap pada putik audio memastikan ia tidak mudah tertanggal daripada telinga tetapi menimbulkan ketidakselesaan selepas dipakai untuk tempoh masa yang lama. Saya pernah tertidur dengan Buds FE dan boleh mengakui ia langsung tidak tertanggal selepas terbangun keesokan harinya. Ia turut menyukarkan putik telinga untuk ditanggalkan daripada telinga selepas tidak lagi ingin digunakan.
Rekaan mungkin tidak begitu selesa berbanding model Buds yang lain tetapi pad sesentuhnya adalah yang terbaik. Permukaan rata pad sesentuh mudah ditekan dan mengesan sentuhan dengan lebih jitu berbanding permukaan hemisfera bulat pada Buds2 Pro misalnya.
Putik silikon yang diberikan adalah selesa dimasukkan dalam lubang telinga dengan terdapat dua lagi pasang putik silikon dan sepasang sayap getah lagi disertakan dalam kotak bagi mereka yang merasakan putik silikon yang disertakan kurang selesa.
Pod pengecas merangkap tempat simpanan juga diperbuat daripada plastik keras yang berkilat. Saiznya sama sahaja dengan pod pengecas Buds2, Buds2 Pro dan Buds Pro. Ini bermakna jika anda membeli kerangka untuk tiga TWS tadi, ia boleh digunakan semula pada pod Buds FE.
Pod pengecas hanya menyokong pengecasan USB-C sahaja tanpa sokongan pengecasan nirwayar. Bagi mengurangkan harga jualan, ciri ini tidak diberikan seperti pada Bud2, Buds2 Pro dan Buds Pro sebelum ini.
Saiz pod adalah kompak dengan tubuh yang dibulatkan. Maka ia sentiasa terasa selesa apabila disimpan di dalam kocek. Ia lebih baik berbanding kemasan bergetah pada Buds2 Pro yang kurang saya gemari kerana terasa melekit.
Akhir sekali pod pengecas dan putik audio sekadar melepasi piawaian kalis air IPX2 yang bermakna ia sekadar kalis percikan air. Ini ialah tahap ketahanan yang juga lebih rendah berbanding Buds2 Pro yang melepasi piawaian IPX7.
PENGALAMAN PENGGUNAAN
Proses menambat adalah paling mudah pada peranti Samsung. Buka penutup dan peranti akan mengesan kewujudan Buds 2 Pro dengan grafik terpapar pada skrin bertanya sama ada pengguna ingin menambatnya pada peranti. Usai proses tambatan, aplikasi Galaxy Wearable boleh dibuka untuk mengubah tetapan ANC, Ambient Mode, pad sesentuh dan equaliser. Kerana Buds FE adalah model paling mampu milik, pengguna sekadar boleh menukar mod ANC, ambient atau mematikannya terus. Tiada pilihan menukar tahap kekuatan ANC atau ambient seperti yang ada pada model Buds lebih mercu.
Sayang sekali tiada sokongan Fast Pair pada peranti Android. Jika tambahan cuba dilakukan tanpa aplikasi Galaxy Wearable, ia adalah sedikit leceh kerana Buds FE tidak mempunyai butang tambatan manual pada pod. Sebaliknya kedua-dua pad sesentuh pada putik telinga perlu ditekan terlebih dahulu sehingga lampu LED pada pod berkelip-kelip. Kemudian ia perlu dicari dalam senarai Bluetooth peranti Android atau iOS yang ingin digunakan.
Saya menyarankan aplikasi Galaxy Wearable dipasang kerana ia memudahkan tetapan ditukar, audio ditala dan perisian dikemaskini. Tetapi ini hanya boleh dimuat turun pada sistem operasi Android sahaja. Kepada pengguna iOS atau PC, tiada aplikasi ditawarkan oleh Samsung.
Penggunaan Buds FE adalah sama sahaja seperti TWS lain. Tekan pad sesentuh sekali untuk menjeda muzik, dua kali untuk melangkau ke audio seterusnya dan tiga kali untuk ke muzik terdahulu. Pad sesentuh yang rata pada Buds FE adalah responsif maka kesemua aksi tadi boleh dilakukan tanpa sebarang isu. Jika pad sesentuh dirasakan hanya mendatangkan masalah, ia boleh dimatikan menerusi tetapan Samsung Wearable.
Kemampuan ANC adalah setanding dengan Buds2 yang bermakna ia adalah cukup memuaskan. Saya gunakan Buds FE dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Hawaii dua minggu lalu. Sistem ANC Buds FE cukup bagus untuk menghalang bunyi deruman enjin dan bayi yang menangis dalam penerbangan selama 16 jam. Buds FE mungkin TWS paling murah Samsung tetapi prestasi ANC adalah sebaik model Buds yang lain.
Mod tembus juga memuaskan. Saya boleh mendengar apa yang dicakapkan oleh kapten kapal dengan jelas jika mod tembus diaktifkan. Cuma saya rindu dengan ciri mod tembus yang boleh dilaras yang ada pada Buds2 Pro. Ia memberikan saya pendengaran seperti seorang adiwira kerana meningkatkan audio sekeliling lebih tinggi daripada tahap pendengaran normal.
KUALITI AUDIO
Kualiti audio Buds FE saya letakkan setanding dengan Buds2 tetapi tidak sebaik Buds2 Pro. Ini adalah boleh dijangkakan kerana harga jualan yang jauh lebih murah. Buds FE hanya mempunyai satu pemandu dan bukannya dua seperti pada Buds2 Pro. Maka audio adalah baik tetapi tidak menakjubkan.
Bass dan treble adalah cukup kuat tetapi pentas audio Buds FE terasa sedikit tertutup. Pada tetapan audio paling lantang audio masih lagi memuaskan cuma sudah semakin berkecamuk kerana hanya mempunyai satu pemandu audio. Pengasingan antara instrumen dalam lagu juga sekadar sederhana.
Tiada sokongan audio pada resolusi lebih tinggi ataupun LDAC. Kerana saya sudah terbiasa dengan TWS dengan sokongan audio resolusi tinggi, kekurangan pada dinamik audio dapat didengari dengan agak ketara. Jika anda inginkan audio yang lebih jelas, pentas audio lebih terbuka dan pengalaman audio lebih tinggi Buds FE bukan untuk anda.
Tetapi ini adalah sekiranya dibandingkan dengan TWS yang lebih premium seperti Buds2 Pro, Nothing Ear (1) atau AirPods Pro. Saya rasakan perbandingan ini kurang adil. Jika dibandingkan dengan OnePlus Nord Buds 2 yang dalam kelas yang sama, Buds FE menawarkan pengalaman audio dan ciri yang terbaik dalam kelasnya. Sekiranya anda mencari pengalaman audio kelas pertengahan yang memuaskan, saya rasakan apa yang ditawarkan oleh Buds FE adalah lebih daripada memuaskan.
BATERI
Bateri diiklankan boleh bertahan sehingga 21 jam dengan bantuan pod pengecas atau 6 jam dengan ANC diaktifkan. Ini saya rasakan boleh dicapai jika audio tidak didengari pada tetapan yang tinggi. Ia boleh bertahan lebih lama daripada diiklankan jika muzik tidak dimainkan langsung. Dalam penerbangan hampir 9 jam antara Tokyo ke Honolulu, saya gunakan Buds FE sebagai penghalang bunyi bising enjin kapal terbang tanpa sebarang isu. Pengecasan semula pod dan putik telinga mengambil masa sekitar sejam sahaja secara berwayar.
APA ADA DALAM KOTAK
Berikut adalah apa yang anda akan dapat dengan setiap pembelian Samsung Galaxy Buds FE
- 1x Set Galaxy Buds FE
- 1x Kabel USB-C – ke USB-C
- 2x Pasang putik silikon tambahan.
- 1x Pasang sayap putik telinga tambahan.
KESIMPULAN
Samsung Galaxy Buds FE ialah fon telingan nirwayar dengan ANC paling mampu milik ditawarkan oleh Samsung pada harga RM399. Ia menawarkan pengalaman audio yang baik, ciri yang pelbagai dan ketahanan bateri yang memuaskan. Sistem ANC misalnya cukup baik untuk menghalang deruman enjin jet dalam penerbangan rentas benua yang saya lakukan beberapa minggu lalu.
Saya boleh sarankan Buds FE kepada mereka yang mencari TWS yang baik pada harga yang tidak begitu melampau. Tetapi saya rasakan jika anda ada sedikit duit lebih, Buds2 adalah pilihan yang lebih baik kerana menawarkan lebih banyak ciri dan pengalaman audio lebih pada harga RM499.
Pro
- Audio yang memuaskan.
- Sistem ANC dan mod tembus yang turut bagus.
- Hayat bateri yang baik untuk kelasnya.
- IPX2.
- Aplikasi yang sangat berguna.
Kontra
- Tiada pengecasan nirwayar.
- Tidak disokong sepenuhnya di iOS.
- Tidak selesa untuk penggunaan yang lama.