Pico adalah jenama set kepala realiti gabungan yang memasuki pasaran Malaysia secara besar-besaran. Berusia sekitar setahun di pasaran tempatan mereka sudah mempunyai kedai tersendiri. Pico 4 adalah antara set kepala mereka yang hebat kerana menyokong realiti maya dan realiti terimbuh (VR, AR) dan turut dijual pada harga yang sangat kompetitif.
Terbaru, Pico Malaysia telah bekerjasama dengan Hotel Aloft untuk XR Exploration Room yang membawakan hotel realiti gabungan pertama di Malaysia. Dengan kerjasama ini, terdapat 50 bilik penginapan disediakan dengan set kepala Pico dengan 15 aplikasi serta permainan siap dipasang. Pico dan Aloft ingin memberikan pengalaman unik ketika mereka yang ingin bercuti di sekitar bandar Kuala Lumpur.
Bilik khas ini boleh ditempah bermula 17 Oktober ke atas untuk sewaan bilik dari 1 November ke 31 Disember. Setiap bilik boleh disewa pada harga serendah RM580 satu malam. Setiap pelanggan turut akan berpeluang membawa pulang Pico 4 selain turut berpotensi membawa pulang baucar Lazada bernilai RM1000 untuk membeli Pico 4 sendiri.