Carian
SpaceX Mahu Melancarkan 144 Roket Ke Angkasa Lepas Pada 2024 Untuk Menaiktaraf Rangkaian Starlink
October 23, 2023 Nazrin

SpaceX, syarikat penerbangan dan eksplorasi angkasa milik Elon Musk baru-baru ini telah mengumumkan pelan mereka untuk meningkatkan kekerapan pelancaran roket-roket mereka ke angkasa lepas, bermula dengan jumlah 100 pelancaran pada penghujung tahun ini.

Kemudian, sepanjang 2024 SpaceX mahu melancarkan sekitar 144 roket ke angkasa lepas, atau 12 pelancaran roket setiap bulan khususnya untuk mengemaskini sistem Starlink dengan satelit baru untuk mempercepatkan proses penaiktarafan teknologi satelit ke selular mereka.

Pada pertengahan tahun ini, Starlink dan T-Mobile telah menandatangani perjanjian yang membolehkan para pelanggan T-Mobile untuk menyambungkan peranti mereka kepada rangkaian satelit Starlink generasi kedua yang mana secara teorinya, akan membolehkan para pelanggan untuk mendapatkan sambungan kepada beberapa perkhidmatan selular seperti SMS, MMS dan beberapa aplikasi permesejan terpilih.

Setakat ini, Starlink mengesahkan bahawa sokongan data mudah-alih dan panggilan VoIP masih lagi belum disokong, tetapi penaiktarafan di masa hadapan akan membolehkan satelit mereka untuk menyokong penghantaran data tinggi tersebut.

CEO T-Mobile, Mike Sievert mengatakan bahawa kerjasama ini adalah bagaikan mempunyai pencawang telekomunikasi di angkasa. Para pelanggan syarikat telekomunikasi tersebut akan boleh ke kawasan pedalaman ataupun lautan, dan masih boleh bersambung ke rangkaian tanpa masalah.

Untuk Starlink pula, syarikat tersebut dijangka hanya akan memperkenalkan pelan suara dan data mereka sehingga 2025 kelak, dimana mereka akan perlu melancarkan satelit-satelit yang jauh lebih besar daripada apa yang mereka sudahpun dan akan lancarkan kelak.

Komen